Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GYEONGJU, 31 Oktober – Dialog dan kerjasama serantau merupakan keperluan mendesak bagi mengekalkan keamanan dan kemakmuran.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia terbukti menerusi pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur membabitkan Thailand dan Kemboja yang turut diusahakan Malaysia.

Menurut beliau, perjanjian itu menjadi peringatan bahawa keamanan dan kemakmuran tidak berkekalan tanpa kepercayaan, kesabaran dan rundingan berterusan.

Prinsip sama harus ditekankan dalam menyelesaikan konflik di Gaza dan Ukraine.

“Selepas Sidang Kemuncak ASEAN, saya semakin yakin bahawa dialog dan kerjasama di peringkat serantau bukan sahaja berguna tetapi juga penting.

“Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja adalah peringatan bahawa keamanan tidak boleh dianggap terjamin.

“Hal yang sama juga berlaku bagi Gaza dan Ukraine. Keamanan dan kemajuan mesti dipupuk dan dikekalkan melalui dialog dan kepercayaan,” katanya.

Beliau menyatakannya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di sini.-Berita RTM