Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menzahirkan penghargaan kepada Thailand dan Kemboja kerana mempercayai usaha Malaysia dalam membantu memudah cara serta mempercepatkan penyelesaian aman pertikaian sempadan antara kedua-dua negara.

Beliau turut menghargai sokongan berterusan semua negara anggota ASEAN termasuk rakan dialog seperti Amerika Syarikat (AS) terhadap usaha tersebut.

“Oleh itu, kita mesti terus mempertahankan dua kekuatan utama kita iaitu perpaduan dalaman dan keterbukaan luaran.

“Atas faktor inilah, ASEAN telah memperoleh kepercayaan dan kredibiliti sebagai tuan rumah yang berkecuali dan boleh dipercayai dalam mengendalikan agenda keselamatan serantau”, katanya ketika berucap pada pembukaan ADMM ke-19 di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua negara anggota turut membantu dan mempercepatkan penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN.

Tegas beliau, usaha berterusan ini bukan sekadar menyelesaikan pertikaian sempadan, tetapi melambangkan keupayaan ASEAN untuk membina keyakinan dan menyelesaikan konflik secara aman.-Berita RTM