Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti kewajaran penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak Nasional, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau akui cadangan dikemukakan Rodziah Ismail (PH-Ampang) tepat pada masanya dan wajar dipertimbangkan khususnya mengambil kira situasi semasa negara yang semakin terkesan dengan pelbagai isu berkaitan keselamatan, kebajikan dan perlindungan kanak-kanak.

Untuk itu, beliau berkata kerajaan akan meneliti dengan dekat cadangan berkenaan termasuk daripada segi mandat, struktur, perundangan dan implikasi kewangan supaya tidak bertindih dengan institusi sedia ada.

“Buat masa ini, fungsi berkaitan hak kanak-kanak sedang dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah SUHAKAM, yang berperanan menasihati kerajaan, memantau pelaksanaan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) serta menyiasat aduan pelanggaran hak kanak-kanak,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, beliau berkata kerajaan berpendapat penambahbaikan kepada peranan dan autonomi Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah SUHAKAM perlu terus diperkukuh sebagai langkah segera.

Jelasnya, kajian lanjut perlu dilaksanakan mengenai model institusi terbaik bagi perlindungan hak kanak-kanak, berasaskan amalan terbaik antarabangsa dan kesesuaian dengan konteks negara.

“Tambahan pula, jawatan Pesuruhjaya Kanak-Kanak ini dibuat berdasarkan seksyen 6A Akta SUHAKAM 1999 (Akta 597), yang secara tidak langsung bermaksud tanggungjawab ini bukan sahaja untuk memberi tumpuan khusus kepada isu-kanak-kanak.

“Tetapi juga mengambil kira kerangka tanggungjawab dan mandat SUHAKAM secara menyeluruh, termasuk pemajuan hak asasi manusia secara holistik.

“Mengambil kira populasi kanak-kanak bawah umur 18 tahun di Malaysia dianggarkan seramai 9.13 juta atau sekitar 27.4 peratus daripada jumlah penduduk negara pada 2023, perkara ini membuktikan cadangan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak amat tepat pada masanya dan bergerak seiring dengan visi Kerajaan supaya setiap negeri boleh ditempatkan seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak pada masa hadapan,” katanya.

Ketika ini, hanya terdapat tiga Pesuruhjaya Kanak-Kanak iaitu Dr Mohd Al Adib Samuri, Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah dan Melissa Mohd Akhir.

Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak disandang Dr Farah Nini Dusuki.-BH Online