Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Keupayaan Malaysia selaku satu-satunya negara yang boleh mengumpulkan negara pelbagai pandangan membuktikan dasar luarnya yang bebas dan terbuka, sekali gus disenangi pemimpin seluruh rantau dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui memang sesuatu yang agak rumit terutama untuk menguruskan kehadiran pemimpin utama dari Amerika Syarikat (AS), Russia dan China pada satu-satu masa, selain beberapa negara yang mempunyai hubungan agak tegang.

“Sekurang-kurangnya dia (pemimpin ini) lihat Malaysia ini dengan dasar ‘centrality’ (berpusat), satu-satu negara yang boleh mengumpulkan negara yang agak berlainan pandangan. 

“Kita menerima (kehadiran) mereka itu bukan kerana ASEAN saja, tetapi atas dasar luar kita yang memilih untuk bersahabat dengan semua.

“Demi menjaga kepentingan rakyat dari segi perdagangan, hubungan antarabangsa, gepolitik dan pelaburan yang membawa faedah kepada rakyat,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Untuk rekod ketika ini, Anwar berkata Malaysia memiliki hubungan antarabangsa yang baik dengan negara Arab, Asia, Kesatuan Eropah (EU), Amerika Latin, Russia serta Afrika.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata hubungan baik dijalin Malaysia dengan beberapa negara itu tidak menghalang untuk terus mengambil pendirian serta keputusan yang bebas. 

“Sebab itu Malaysia satu-satunya negara ASEAN yang masih meneruskan dengan Iran walaupun tidak dipersetujui banyak negara lain. Bagi kita hubungan kita dengan Iran, kita akan teruskan.

“Dengan EU, mereka sudah percepatkan rundingan perdagangan, yang dihalang sekian lama untuk diselesaikan akhir tahun ini atau awal tahun depan. Dengan Afrika dan Amerika Latin, dulu (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) bagi tumpuan kepada Afrika, tapi sudah agak ketinggalan, (jadi) kita tingkatkan semula.

“Sebab itu kita lihat negara selatan Afrika iaitu Ethiopia sudah ke Malaysia. Bila ada mesyuarat G20 di selatan Afrika, saya akan ambil kesempatan melawat negara Afrika untuk meletakkan kepentingan Malaysia di Afrika. Selain Amerika Latin kerana (Presiden Brazil, Luiz Inacio) Lula (da Silva) itu antara sahabat dan rakan baik kita,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibharim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), Anwar berkata buat masa ini Malaysia tidak berhasrat untuk meneruskan cadangan penubuhan suruhanjaya sempadan, oleh kerana kerjasama sedia ada yang terjalin bersama negara jiran, sudah menyentuh soal sempadan secara meluas. 

“Gangguan kepada PETRONAS itu, tapi tidak sampai ke satu tahap kita perlu hubungi Presiden (Indonesia,) Prabowo (Subianto) kerana umumnya hubungan dengan Indonesia itu baik. 

“PETRONAS tentunya hanya cari gali di kawasan tetap milik kita dan tak menceroboh kawasan lain. Pencerobohan nelayan sama ada Malaysia ke Indonesia atau Indonesia ke Malaysia, kita cuba leraikan dengan baik. Perundingan sudah dicapai tetapi masih ada beberapa belum dimuktamad seperti isu Ambalat (Laut Sulawesi),” katanya.

“(Kerjasama sempadan dengan) beberapa negara jiran dengan Singapura, Indonesia dan Thailand itu memang agak baik dan meningkat, tetapi agak terlalu awal capai kesepakatan dari segi keselamatan sempadan ala-Nato yang juga menjadi kontroversi (di eropah) ketika ini,” katanya.-BH Online