Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LIPIS: Kerajaan tidak akan meminggirkan mana-mana kampung daripada arus pembangunan negara terutama dalam menyediakan pelbagai infrastruktur termasuk jalan yang menjadi penghubung penting masyarakat luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha penting itu sejajar pendekatan kerajaan memajukan negara kerana kemudahan asas disediakan menjadi nadi ekonomi rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ini kerana infrastruktur disediakan itu digunakan seluruh rakyat termasuk pelajar ke sekolah, petani ke ladang dan orang ramai ke tempat kerja.

“Jalan dibina juga menjadi saksi perjuangan dan harapan masyarakat desa yang ingin maju seiring pembangunan negara.

“Kemudahan asas disediakan juga mencerminkan kasih sayang kerajaan kepada rakyat bagi memastikan tiada sesiapa pun terpinggir walau di mana mereka berada,” katanya berucap merasmikan jalan dan jambatan dari Kampung Labu, Jerantut ke Kampung Mela, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Jalan sepanjang 15 kilometer itu dibina dengan kos RM157 juta bagi memendekkan perjalanan antara dua lokasi itu berbanding jarak 60 kilometer sebelum ini.

Ahmad Zahid berkata, kemudahan infrastruktur seperti jalan dibina kerajaan bukan sekadar kemudahan perhubungan rakyat, sebaliknya setiap projek infrastruktur dirancang dan dilaksanakan dapat membantu aktiviti ekonomi, pelancongan, pertanian serta keusahawanan.

Katanya, kemudahan itu juga turut membuka peluang rezeki baharu kepada penduduk setempat khususnya generasi muda untuk terus membina masa depan di kampung mereka.

“Sebagai contoh jalan baharu dirasmikan ini, mampu menjadi koridor pelancongan utama di Pahang kerana laluan itu menghubungkan antara Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, Cameron Highlands melalui Kuala Lipis dan Genting Highlands, Bentong. 

“Laluan itu bakal menjadi penghubung strategik memperkenalkan keindahan alam dan budaya Pahang kepada dunia,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, walaupun kerajaan berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan ekonomi global, tetapi kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan. 

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diamanahkan meningkatkan kesejahteraan di kawasan desa akan terus berusaha memperkukuh infrastruktur untuk dinikmati rakyat.

“Selain itu, pelbagai peluang ekonomi akan disediakan supaya setiap keluarga di kampung mampu menikmati kehidupan lebih baik, sejahtera dan bermaruah.

“Menerusi Belanjawan 2026, sebanyak RM12.4 bilion diperuntukkan kepada KKDW dan jumlah itu meningkat RM440 juta berbanding tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu RM7.78 bilion akan disalurkan khusus untuk projek pembangunan seperti pembinaan jalan, bekalan elektrik, air, telekomunikasi dan kemudahan sosial untuk dimanfaatkan 8.1 juta penduduk luar bandar.-BH Online