KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan My Digital ID Sdn Bhd bagi mengintegrasikan identiti digital MyDigital ID ke dalam aplikasi myPTPTN.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata langkah itu dapat memperkukuh kecekapan serta meningkatkan pengalaman pengguna dalam mengakses perkhidmatan secara dalam talian.
“Transformasi ini memberi manfaat besar kepada masyarakat kerana membolehkan mereka berurusan secara mudah, cepat dan selamat dari rumah, kampus atau di mana sahaja.
“Ia sekali gus meningkatkan kecekapan dan pengalaman pengguna dalam mengakses perkhidmatan secara dalam talian.
“Kerjasama itu sejajar dengan aspirasi Kerajaan Malaysia melalui inisiatif Dasar Identiti Digital Nasional (NDID) dan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan menjadi asas kepada transformasi perkhidmatan awam dan pembangunan ekonomi digital negara,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU itu di menara PTPTN di sini hari ini.
PTPTN diwakili Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid manakala My Digital ID diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Nik Hisham Nik Ibrahim.
Selain Norliza, pemeteraian MoU turut disaksikan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID Azrin Aris dan pengurusan kanan dua organisasi tersebut.
Norliza berkata, aplikasi myPTPTN juga selari dengan teras ke lima pelan strategik PTPTN 2021-2025 yang memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan.null
“Sehingga 15 Oktober, lebih 2.8 juta pengguna menggunakan myPTPTN secara dalam talian.
“Melalui platform ini, pengguna boleh membuat permohonan pinjaman, menyemak baki pinjaman, membuat pembayaran balik dan membuka serta menambah deposit dalam akaun Simpan SSPN dengan mudah.
“Dengan kemajuan ini, kami yakin PTPTN akan terus menjadi organisasi yang lebih efisien dan mesra pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Nik Hisham berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja menyokong agenda pendigitalan negara, malah meletakkan asas kukuh kepada pertumbuhan inovasi digital dalam sektor pendidikan.
“Lebih penting, ia membantu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap transaksi digital sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi digital Malaysia,” katanya.
Untuk maklumat lanjut aplikasi myPTPTN, orang ramai boleh melayari www.ptptn.gov.my atau memuat turun aplikasi myPTPTN bagi mendapatkan notifikasi serta mengakses perkhidmatan PTPTN pada bila-bila masa dan di mana sahaja.-BH Online