KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Kerajaan akan terus memperluas skim jaminan dan kemudahan pembiayaan bagi menyokong inovasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar mereka dapat bersaing dengan lebih yakin di pasaran antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan pemain industri PKS tidak ketinggalan dalam arus pertumbuhan global, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan yang diyakini.
“Malaysia beraspirasi menjadi pusat pelaburan yang bukan sahaja menarik syarikat multinasional, tetapi juga mengangkat perniagaan tempatan agar mampu berdiri sama tinggi di pentas global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sidang Kemuncak DHL GoTrade 2025 di sini, hari ini.
Beliau turut memuji peranan DHL melalui inisiatif GoTrade yang telah membantu ribuan PKS termasuk perniagaan milik wanita menembusi pasaran antarabangsa.
Katanya, kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta penting bagi mengukuhkan daya saing dan kemampanan ekonomi negara.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan akan terus menumpukan kepada agenda transformasi digital, automasi dan inovasi bagi melahirkan PKS yang lebih berdaya tahan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran global.-Berita RTM