Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kebanyakan Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh daya tahan ekonomi ASEAN serta menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh rantau ini.

Katanya, PED memberi tumpuan kepada usaha memperluas akses kepada pembiayaan iklim, membangunkan pasaran modal serantau yang lebih inklusif, menubuhkan Pusat Kecemerlangan bagi Peralihan Hijau, serta memajukan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital.

“Malaysia mengambil tanggungjawab memartabatkan PMKS dengan serius. Ini terbukti daripada beberapa PED yang memperjuangkan keperluan mereka,” katanya pada Sidang Kemuncak DHL GoTrade 2025 di sini, hari ini.

Dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah hampir AS$4 trilion, ASEAN kini adalah ekonomi kelima terbesar dunia dan blok perdagangan ketiga terbesar, mencatatkan jumlah dagangan lebih AS$3.8 trilion.

Tengku Zafrul berkata, ASEAN kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik, apabila berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak AS$226 bilion tahun lalu, peningkatan sebanyak 8.0 peratus meskipun dunia mencatatkan penurunan 11 peratus secara keseluruhan.

“Dengan prinsip sentraliti dan berkecuali ASEAN, ditambah pula dengan demografi muda, sumber asli serta kelebihan lain yang dimiliki, kita berada pada kedudukan baik untuk menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030,” katanya.

Menyentuh landskap global, Tengku Zafrul menyifatkan 2025 sebagai tahun yang mencabar bagi perdagangan dunia, dengan tarif, ketegangan geopolitik dan gangguan berkaitan iklim yang mengubah bentuk rantaian bekalan global.

Beliau berkata, peningkatan tarif telah melonjakkan kos, memecahbelahkan rantaian bekalan dan menjejaskan keyakinan pelabur.

“Inilah sebabnya kita perlu berfikir semula dan menyesuaikan semula strategi perdagangan, terutamanya bagi membantu PMKS membentuk, mengekalkan atau mengubah strategi mereka apabila perlu.

“Perkara ini amat penting kerana PMKS adalah tulang belakang ekonomi ASEAN dan Malaysia,” katanya.

Di Malaysia, Tengku Zafrul berkata, Rangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) turut menyokong dan memperkasa PKS agar menjadi ‘wira tersembunyi’ yang berdaya saing di peringkat global, berasaskan teknologi tempatan dan keupayaan inovatif.

Beliau turut memuji inisiatif GoTrade oleh DHL yang telah menyokong lebih 3,200 PMKS melalui latihan, pengetahuan eksport dan akses kepada pembiayaan.

Menurutnya, kerjasama seperti ini membantu memperkukuh jenama ‘Made by Malaysia’ serta mengangkat perusahaan tempatan ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

“Inilah cara kita memperkasa lebih banyak PMKS untuk berkembang menjadi PKS, yang kemudiannya akan berubah menjadi syarikat peringkat pertengahan, dan akhirnya muncul sebagai syarikat multinasional – menjana pertumbuhan yang mencipta pekerjaan lebih berkualiti dan berpendapatan lebih baik untuk rakyat Malaysia dan komuniti serantau,” katanya.-BH Online