KUALA LUMPUR: Penekanan terhadap disiplin, pemantauan dan komunikasi ibu bapa adalah benteng utama dalam membentuk keperibadian serta nilai sosial anak-anak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata, ibu bapa perlu memperkukuh nilai kekeluargaan dengan komunikasi dua hala bersama anak-anak, selain mengamalkan langkah mendisiplinkan mereka melalui pendekatan seimbang dan penuh kasih sayang.
Katanya, bapa juga perlu mendekati anak secara berterusan kerana kasih sayang dan perhatian dalam rumah tangga dapat mengurangkan kecenderungan remaja mencari perhatian di luar.
“Semuanya bermula di rumah. Kalau ibu bapa sendiri tidak membimbing anak, maka di situlah akar masalahnya.
“Anak sekarang terdedah kepada pelbagai gajet. Kita tidak boleh membiarkan mereka tanpa bimbingan, sebab kalau kita biarkan, inilah yang menjadi masalah di sekolah hari ini,” katanya selepas menghadiri sesi rakaman podcast bersama Bernama TV di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Nancy berkata, pendedahan kanak-kanak dan remaja tanpa kawalan terhadap pelbagai bahan dalam talian menyebabkan sebahagian golongan itu menganggap perbuatan tidak bermoral sebagai perkara normal.
Pada masa yang sama, beliau berkata, kementerian menyediakan inisiatif Pusat Remaja KafeTEEN (KafeTEEN) yang berperanan sebagai tempat selamat untuk pelajar selepas waktu sekolah bagi mengikuti aktiviti berfaedah seperti debat, program pembangunan diri dan keusahawanan.
Katanya, ia juga berfungsi sebagai platform untuk membantu mereka menempuhi alam remaja dengan yakin dan selesa melalui bimbingan serta pendidikan.null
“Kadang-kadang pelajar balik sekolah dan tiada siapa di rumah. Di KafeTEEN mereka boleh belajar berdebat, mengenali tubuh manusia, malah ada yang dilatih menjadi pemimpin dalam bidang ekonomi,” katanya.
Selain itu, Nancy berkata, kementerian juga menawarkan perkhidmatan kaunseling luar sekolah kepada mana-mana remaja atau pelajar terbabit kegiatan tidak bermoral sebagai antara langkah pemulihan.
Beliau berkata, perkhidmatan itu memberi ruang selamat kepada remaja untuk bersuara tanpa bimbang terhadap stigma orang sekeliling.
“Kami pernah temui pelajar 13 tahun yang mengaku sudah beberapa kali terlanjur dalam hubungan seksual. Jadi, kami bantu mereka melalui sesi kaunseling yang terbuka (tanpa stigma) dan selamat untuk mereka bersuara,” katanya.
Sementara itu, Nancy berkata, penganjuran Bulan Keluarga Kebangsaan pada November ini akan menekankan kepentingan pembabitan aktif ibu bapa dalam membina hubungan mesra dengan anak.
Katanya, acara utama akan diadakan di Putrajaya pada 8 dan 9 November ini, dengan pelbagai pengisian serta aktiviti interaktif mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak, selain sebagai platform ilmu memperkukuh institusi kekeluargaan.
Beliau berharap sambutan kali ini dapat menjadi wadah memperkukuh institusi keluarga yang sihat dan harmoni, sekali gus menjadi asas kepada pembentukan generasi lebih berakhlak serta berdaya tahan terhadap cabaran sosial semasa.
“Saya menggesa ibu bapa membawa seisi keluarga khususnya anak menyertai pelbagai program yang kita sediakan pada sambutan kali ini,” katanya.– BERNAMA