Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGSAR, 21 Oktober– Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail secara rasmi dilantik sebagai Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata pelantikan Datuk Seri Wan Rosdy sebagai penghubung antara MPUPK dengan Exco-Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dalam bidang keusahawanan.

“Ini selaras dengan tugas Menteri KUSKOP yang mempunyai lebih 10 agensi untuk melakukan bukan sahaja penyelarasan di peringkat nasional juga negeri. Datuk Seri Wan Rosdy bertanggungjawab meningkatkan pembangunan bidang keusahawanan,” ujar beliau.

Beliau ditemui media selepas mempengerusikan Majlis Keusahawanan dan PMKS Kebangsaan yang berlangsung di Menara Bank Rakyat.

Pada majlis berkenaan, Datuk Seri Wan Rosdy menerima watikah pelantikan dari Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusi MPUPK.

Selain pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) dan Strategi Kebangsaan Anti-Rasuah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mesyuarat juga katanya turut menyentuh isu kesukaran usahawan dalam mendapatkan pensijilan halal.

“Kita juga melihat dari segi pensijilan halal. Kita nak memperkuatkan juga hal ini kerana ramai dalam kalangan usahawan memberitahu agak sukar mendapatkan sijil halal.

“Dan kebetulan saya Pengerusi Majlis Halal Negara dan kita mengambil maklum perkara ini dan saya akan membawanya ke Mesyuarat Majlis Halal agar terdapat usaha bersama yang dilakukan agensi atau kementerian berbeza tetapi ada matlamat bagi mempermudahkan bukan menyusahkan,” jelas beliau lagi.-Berita RTM