KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) bakal mengumumkan beberapa langkah tambahan dalam masa terdekat bagi memperkukuh ekosistem sekolah selamat dan sokongan kesihatan mental di institusi pendidikan itu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata hari ini beliau diberi taklimat selain menerima laporan daripada kumpulan profesional untuk mendapat gambaran menyeluruh mengenai apa yang berlaku, bagi membantu pihaknya membangunkan langkah tambahan.
Langkah itu, katanya, susulan beberapa insiden yang berlaku di sekolah sehingga menuntut tindakan daripada kementerian untuk memperkukuh tahap Keselamatan serta sokongan kesihatan mental.
“Beberapa insiden yang berlaku lewat ini menuntut kita untuk bekerja dengan lebih kuat lagi, bagi memperbaiki kelompongan yang ada demi memastikan keselamatan anak-anak, guru dan seluruh warga pendidikan.
“Bagai tidak ada istilah cuti kerana ketika ini kami sedang menggiatkan usaha menyusun semua mekanisme bagi memperkukuh ekosistem sekolah selamat.
“Saya adakan pertemuan dan debried (memberi atau menerima laporan) bersama pasukan sokongan psikososial yang sedang melaksanakan intervensi krisis bagi membantu warga sekolah yang terjejas, selepas beberapa insiden untuk mendukung sokongan kesihatan mental.
“Beberapa perbincangan dengan pasukan KPM turut diadakan terkait usaha tambah baik aspek keselamatan di sekolah dan disiplin anak-anak sebagai keputusan Jemaah Menteri. Insya-Allah saya akan umumkan beberapa langkah dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Pada Jumaat lalu, Kabinet menyarankan tiga langkah bagi menangani isu keselamatan di sekolah termasuk melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar berumur 16 tahun ke bawah.null
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan larangan itu bagi membendung masalah disiplin, pengaruh media sosial serta permainan dalam talian yang sering menjurus kepada tingkah laku negatif, termasuk kes buli dan jenayah di sekolah.
Jemaah Menteri turut menyarankan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertingkat pemantauan keselamatan di sekolah.
Selain itu, Jemaah Menteri juga mencadangkan kandungan pendidikan ditambah baik dengan sokongan daripada ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membantu mengawal, menerap nilai murni serta akhlak dalam kalangan pelajar.-BH Online