KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) — Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan baharu bagi bakal jemaah haji musim 1447H/2026M, selain tidak lagi membenarkan Lembaga Tabung Haji (TH) membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Mustakim Mohamad dalam kenyataan hari ini memaklumkan syarat kesihatan baharu itu akan dikuatkuasakan oleh TH dan perlu dipatuhi semua jemaah dari Malaysia bagi memperoleh visa haji.
Beliau berkata antara syarat yang ditetapkan ialah bakal jemaah perlu bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik yang tidak terkawal, serta berupaya melaksanakan ibadat haji secara kendiri.
“Jemaah tidak dianggap layak mengerjakan haji sekiranya menghidap penyakit atau keadaan seperti kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius, penyakit paru-paru kronik dan penyakit hati kronik.
“Selain itu, turut tidak layak ialah mereka yang mengalami masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif atau motor, warga emas yang menghidap dementia atau lemah fizikal, kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif serta pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan,” katanya.
Sehubungan itu, Mustakim menasihatkan bakal jemaah haji supaya membuat persediaan kesihatan fizikal secukupnya memandangkan mereka akan berada di Arab Saudi dalam tempoh yang panjang serta berdepan suasana berdebu dan cuaca panas.
Beliau berkata tahap kesihatan yang baik merupakan antara syarat kemampuan mengerjakan haji (istito‘ah) yang sentiasa ditekankan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan, selaras dengan keperluan lulus pemeriksaan kesihatan kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menerima tawaran haji.
Selain itu, katanya, bagi musim haji 1447H/2026M, TH tidak lagi dibenarkan membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci. Bagi jemaah yang memerlukan rawatan lanjut, mereka akan dirujuk ke hospital-hospital yang disediakan Kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan rapi oleh pakar-pakar perubatan KKM.
“Bagaimanapun, TH masih menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah haji di Makkah dan Madinah.
“Setiap bangunan dilengkapi klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendalikan petugas kesihatan bertauliah daripada KKM bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada jemaah Malaysia, termasuk pengiring bagi warga emas dan orang kelainan upaya,” katanya.
Beliau berkata TH turut merancang menyediakan kemudahan kesihatan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu, dan bagi tujuan itu, TH dengan kerjasama KKM akan menempatkan 225 petugas kesihatan pada musim haji tahun depan.
TH, katanya, sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah haji Malaysia sebagai teras pengurusan operasi haji setiap tahun, justeru sebahagian besar kuota petugas di Tanah Suci diperuntukkan kepada petugas perubatan.– BERNAMA