Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LAHAD DATU: Kementerian Pertahanan memperkukuh keselamatan dan kedaulatan Malaysia di Sabah melalui perancangan Angkatan Masa Hadapan yang akan berlaku bagi tempoh lima tahun, bermula tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata antara perancangan di bawah pelan itu termasuk menambah jumlah batalion di dua briged yang terdapat di negeri berkenaan serta menubuhkan satu rejimen artileri baharu.

“Biasanya satu briged mempunyai tiga batalion, namun bagi Sabah, dua briged sedia ada akan ditambah satu batalion lagi menjadikan setiap briged mempunyai empat batalion. Ini bermakna dua batalion dari Semenanjung akan dipindahkan ke Sabah.

“Kita juga akan menubuhkan satu rejimen artileri 155mm memandangkan ketika ini hanya terdapat rejimen 105mm di Sabah.

“Selain itu, jumlah radar persisiran pantai akan ditambah kepada empat unit berbanding dua sebelum ini, dengan dua daripadanya akan ditempatkan di kawasan Ops Pasir termasuk di Lahad Datu,” katanya selepas meninjau Pos Tanduo, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan memberi tumpuan besar terhadap aspek keselamatan di wilayah Sabah, termasuk memperkukuh keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kita sedang dalam proses memperoleh pangkalan bergerak di Semporna bagi menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah yang kini bersifat statik dan dijangka tamat tempoh penggunaan tahun depan. 

“Selain itu, kita juga sedang melaksanakan perolehan kapal serta pesawat baharu,” katanya.

Mohamed Khaled berkata kementeriannya turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi tinggi dalam operasi ketenteraan, khususnya di empat sektor Ops Pasir termasuk Lahad Datu yang meliputi kawasan tanggungjawab sangat luas.

“Antaranya penggunaan dron serta teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memantapkan operasi dan memudahkan tugasan anggota tentera di lapangan. Pihak kementerian akan terus memperincikan perancangan ini,” katanya.

Mohamed Khaled berkata usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara turut memberi kesan positif kepada sektor pelancongan Sabah yang mencatatkan kehadiran kira-kira 1.7 juta pelancong tahun ini.

“Kehadiran Ops Pasir dengan sektor tanggungjawab yang terancang memastikan ekonomi Sabah kekal stabil. Tanpa operasi seperti ini, mungkin wujud risiko penyeludupan atau ancaman keselamatan.

“Namun hari ini, keadaan di Sabah tenang dan terkawal,” katanya.– BERNAMA