KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Perpaduan merupakan aset paling berharga dalam masyarakat Malaysia kerana ia menjadi asas kepada keamanan, keharmonian dan kemajuan negara, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata, semangat muhibah dan saling menghormati antara rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik serta kukuh dalam kepelbagaian.
“Hari ini saya berpeluang berkongsi semangat perayaan Deepavali bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri beliau Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
“Kami sempat bertukar cerita dan ketawa bersama sambil menikmati pelbagai juadah istimewa yang disediakan sempena sambutan perayaan cahaya ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Gobind berkata, kerajaan MADANI sentiasa menyanjung tinggi semangat perpaduan yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat, seiring dengan nilai kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan yang menjadi asas Malaysia MADANI.
“Berinspirasi daripada falsafah Deepavali yang meraikan kemenangan cahaya ke atas kegelapan, semoga Malaysia terus makmur dan maju untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.-Berita RTM