JASIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keamanan dan kestabilan yang dinikmati negara ketika ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan kesiapsiagaan serta peningkatan keupayaan pertahanan.
Beliau berkata, sejarah dunia membuktikan banyak negara melakukan kesilapan besar apabila mengabaikan aspek disiplin dan kesiapsiagaan ketenteraan sewaktu berada dalam keadaan aman.
“Apabila negara berada dalam suasana aman dan stabil, ada yang menganggap segalanya sudah beres (terkawal), lalu hanya menumpukan kepada pembangunan ekonomi, pendidikan dan infrastruktur.
“Tetapi bagi kita yang menikmati keamanan ini, jangan sesekali mengetepikan persiapan, kesiapsiagaan, disiplin serta peningkatan keupayaan pertahanan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.
Perdana Menteri berkata, rakyat juga perlu diberikan penjelasan berhubung peruntukan sebanyak RM21.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan dalam Belanjawan 2026 bagi memastikan rakyat memahami ketelusan serta pelaburan kerajaan dalam sektor pertahanan negara.
“Kalau beri peruntukan kepada Kementerian Pertahanan… RM21.7 bilion itu (ada yang tanya) kelengkapan mana? Pesawat mana? Kereta kebal di mana? Semua itu boleh diterangkan oleh pegawai yang membantu memberi penjelasan kepada rakyat,” katanya.
Anwar turut merakam penghargaan kepada Mohamed Khaled yang menekankan aspek disiplin, perolehan dan kebajikan anggota tentera termasuk penyediaan perumahan serta sekolah untuk keluarga mereka.
Justeru, beliau berkata kerajaan turut memberi tumpuan terhadap kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk program pemulihan dan pembinaan semula perumahan anggota bagi memastikan kesejahteraan tentera dan keluarga mereka terpelihara.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata kekuatan negara bukan sahaja bergantung kepada keupayaan ketenteraan, tetapi juga keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dalam mengekang ketirisan serta jenayah ekonomi.
“Cuba bayangkan dalam tempoh dua tahun, penguat kuasa boleh menyelamatkan hasil negara termasuk melalui rampasan daripada sindiket penipuan dan kegiatan gelap…dua tahun, RM15.5 bilion berjaya diselamatkan. Ini wang rakyat, wang negara,” katanya.
Anwar turut memuji keberanian agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menumpaskan sindiket besar sehingga menyelamatkan hasil negara untuk dimanfaatkan semula kepada rakyat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan dana berbilion ringgit yang berjaya diselamatkan itu akan disalurkan kembali kepada rakyat melalui peruntukan bagi sekolah, klinik, jalan raya serta kenaikan gaji penjawat awam.-BH Online