KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkukuh penguatkuasaan serta meningkatkan kehadiran polis di sekolah sebagai langkah menyokong dasar keselamatan digital pelajar yang diperkenalkan kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu diambil berikutan penyalahgunaan peranti dan media sosial dalam kalangan pelajar yang dikenal pasti sebagai antara faktor utama menyumbang kepada gejala buli, tekanan emosi serta kemerosotan disiplin di sekolah.
Katanya, bagi melengkapkan usaha itu, KDN melalui PDRM akan melaksanakan tindakan bersepadu berasaskan pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan.
“Ini termasuk memperkukuh kempen kesedaran keselamatan digital bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Selain itu, meningkatkan rondaan dan kehadiran polis di kawasan sekolah (police omnipresence), selain memperkasakan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam membimbing pelajar mengenai disiplin dan keselamatan siber,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, KDN menyokong penuh terhadap langkah tegas dan berpandangan jauh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memperkenalkan dasar bagi mengehadkan akses kepada platform media sosial yang memaparkan kandungan keganasan, lucah serta unsur-unsur negatif dan merbahaya yang boleh membawa kemudaratan kepada kanak-kanak di bawah umur.
Sementara itu, Saifuddin berkata, KDN juga menyokong pendekatan menyeluruh dalam menangani isu berkenaan termasuk mempertingkat sistem sokongan kesihatan mental yang mudah diakses dan mesra belia di sekolah serta komuniti.
“Penguatkuasaan yang jelas dengan tindakan konsisten terhadap penyalahgunaan peranti, buli siber dan eksploitasi digital, pemantauan serta penyesuaian dasar secara berterusan agar langkah-langkah ini kekal relevan dengan perubahan teknologi.null
“Selain itu, pembabitan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk KPM, Kementerian Kesihatan (KKM), PIBG, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta platform digital,” katanya.
KDN juga, katanya, menyokong usaha pendidikan literasi digital yang mantap bagi membentuk pelajar yang beretika dan bertanggungjawab dalam dunia maya dan akauntabiliti platform serta keselamatan melalui reka bentuk (safety by design), supaya syarikat teknologi turut memainkan peranan dalam melindungi pengguna bawah umur.
“Saya menegaskan bahawa isu keselamatan digital pelajar bukan semata-mata persoalan disiplin sekolah, tetapi satu tanggungjawab nasional yang menuntut kerjasama menyeluruh antara kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, komuniti dan industri teknologi.
“Langkah ini bukan untuk menyekat kebebasan, tetapi untuk melindungi masa depan generasi muda Malaysia agar mereka membesar dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, berdisiplin dan sejahtera secara mental serta digital, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.-BH Online