Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan tidak akan menghentikan sebarang bentuk bantuan kepada skuad Harimau Malaya, meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini terpalit isu penggantungan tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata tumpuan utama kementerian ketika ini ialah memastikan pasukan kebangsaan terus menerima sokongan penuh bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2027.

“Buat setakat ini, dana tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah untuk pasukan senior Harimau Malaya, bagi persiapan kelayakan ke Piala Asia. Itu adalah dana tambahan yang diberikan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Remaja Asia 2025 Bahrain dan Sukan Perpaduan Islam 2025 Arab Saudi hari ini.

Jelas beliau lagi, penggantungan yang dikenakan ketika ini hanya melibatkan tujuh pemain warisan dan FAM, namun, tumpuan tetap perlu diberikan kepada pemain tempatan lain yang masih mewakili skuad kebangsaan.

“Ramai sudah lupa, sebenarnya pasukan Harimau Malaya masih ada…seperti yang lawan Laos baru-baru ini, masih ada Faizal Halim, Arif Aiman dan pemain tempatan lain. Takkan kita tak nak bantu atlet-atlet bola sepak yang lain yang masih sedang bermain untuk pasukan Malaysia?” katanya.

Beliau menegaskan bahawa KBS akan terus memberi sokongan dan mencari pendekatan terbaik untuk membantu pasukan kebangsaan sekiranya diperlukan.

“Selagi kita ada pasukan kita dan pemain tempatan kita yang memerlukan sokongan, selagi itu kita akan cari usaha untuk membantu mereka,” katanya.

Sementara itu, mengenai penyertaan Malaysia di pentas antarabangsa, Hannah memaklumkan bahawa seramai 120 atlet akan mewakili negara di Temasya Sukan Remaja Asia 2025 (AYG) yang akan berlangsung di Bahrain dari 22 hingga 31 Oktober ini, melibatkan 17 jenis sukan.

Bekas gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, dilantik sebagai Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke temasya tersebut.

Manakala Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, pula akan mengetuai kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Perpaduan Islam 2025 di Arab Saudi, yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 21 November 2025, dengan penyertaan 17 atlet dalam lima acara.-Berita RTM