KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah proaktif menggantikan penggunaan tandas baldi di beberapa institusi penjara lama di seluruh negara dengan Tandas Mudah Alih (HPT) yang lebih moden, bersih dan mesra pengguna.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu diambil selepas kerajaan menyedari sistem ‘bucket toilet’ tidak lagi sesuai digunakan dan tidak memenuhi piawaian kebersihan serta keselesaan semasa, selain bertentangan dengan standard hak asasi manusia.
“Pada Januari 2025, Jabatan Penjara Malaysia sudah melaksanakan pembelian sebanyak 3,000 unit HPT bagi tujuan penggantian sistem bucket di penjara yang berkenaan.
“Jabatan Penjara Malaysia juga sudah mengenal pasti 13 buah penjara usang di seluruh negara sama ada untuk penggantian atau dinaik taraf,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, yang disiarkan laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) mengenai sama ada benar lebih 8,000 banduan di lima penjara seluruh negara masih dikehendaki berkongsi tandas baldi di dalam sel mereka dan apakah rancangan KDN untuk menamatkan amalan yang tidak lagi sesuai dengan standard kebersihan serta hak asasi berkenaan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan sudah meluluskan projek pembinaan Penjara Baharu Sibu yang bakal menggantikan fasiliti sedia ada yang sudah berusia dan tidak lagi mampu menampung jumlah penghuni semasa.
“Penjara baharu berkenaan akan mempunyai kapasiti 1,000 orang banduan yang merangkumi blok kediaman moden, kemudahan kawalan keselamatan terkini yang menepati piawaian antarabangsa berasaskan nilai kemanusiaan, selaras dengan prinsip ‘The Nelson Mandela Rules’.
“Bagaimanapun, keutamaan bagi penggantian atau naik taraf fasiliti terbabit adalah tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa kerajaan,” katanya.null
Beliau menjelaskan langkah itu membuktikan komitmen dan Jabatan Penjara Malaysia untuk meningkatkan tahap kebersihan serta menjaga kebajikan dan hak asasi banduan selaras dengan standard antarabangsa.
“Pendekatan itu juga mencerminkan nilai kemanusiaan yang diterapkan dalam sistem pemulihan banduan di mana kesejahteraan, maruah dan keselesaan mereka tetap diambil kira walaupun sedang menjalani hukuman.
“Jabatan Penjara Malaysia bukan saja menekankan aspek penguatkuasaan undang-undang malah turut mengutamakan prinsip pemulihan insan agar mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat dengan lebih bermaruah dan berdaya saing selepas selesai menjalani hukuman,” katanya.-BH Online
