Malaysia bakal memberi sumbangan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM420,000 kepada Tabung Pengurusan Bencana dan Bantuan Kecemasan ASEAN (ADMER Fund).
Sumbangan itu sebagai semangat solidariti Malaysia bersama semua negara anggota ASEAN serta tanggungjawab bersama untuk memastikan mekanisme ASEAN khususnya Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) terus diperkasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan yang cepat, berkesan dan berasaskan keperluan.
”Sumbangan Malaysia ini mencerminkan komitmen berterusan terhadap agenda ketahanan kolektif ASEAN. Malaysia yakin semangat kerjasama ini akan menggalakkan negara-negara Anggota dan rakan-rakan serantau untuk terus memperkukuh Tabung ADMER sebagai tonggak kesiapsiagaan dan tindak balas bencana ASEAN”, katanya selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-13 dan Persidangan Pihak-Pihak kepada AADMER (COP-AADMER) ke-14.
Tambahnya, kerajaan juga akan terus memperkukuh keupayaan kolektif ASEAN dalam pengurusan bencana dan tindak balas kemanusiaan berteraskan prinsip “One ASEAN, One Response”.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, tindakan pantas dan penyelarasan dalam kalangan negara ASEAN dalam menangani bencana gempa bumi di Myanmar awal tahun ini membuktikan semangat perpaduan dan kerjasama di bawah kerangka AADMER.
Katanya, AADMER mencerminkan komitmen teguh ASEAN bahawa tiada negara anggota akan berhadapan dengan bencana secara bersendirian.
Sepanjang tempoh ini juga, ASEAN telah berkembang daripada sekadar menyelaras tindak balas kepada menjadi rakan global yang diyakini dalam pengurusan bencana melalui mekanisme seperti AHA Centre, gudang serantau DELSA serta Rangkaian ASEAN-ERAT.-Berita RTM