PUTRAJAYA: Industri peranti perubatan Malaysia terus mencatat pertumbuhan dan daya tahan luar biasa apabila eksport produk berkenaan meningkat 31 peratus pada 2024 dengan nilai mencecah RM37 bilion.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sektor itu turut berjaya menarik pelaburan domestik dan asing berjumlah RM20 bilion bagi tempoh antara 2021 hingga 2024.
“Kini, industri ini menyumbang kira-kira RM1.8 bilion setahun kepada ekonomi negara selain menyediakan lebih 130,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), sektor peranti perubatan diiktiraf sebagai pemacu pertumbuhan strategik yang berupaya meningkatkan nilai pelaburan Malaysia.
“Pada masa sama, ia memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan meletakkan negara sebagai hab bertaraf dunia dalam bidang teknologi serta inovasi perubatan,” katanya berucap pada Majlis Prapelancaran Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2026 dan Program Pembangunan Keusahawanan Sektor Peranti Perubatan (MedTechPreneur 1.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Mengenai program berkenaan, beliau memaklumkan, ia inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bertujuan melahirkan generasi baharu usahawan teknologi perubatan (MedTech) yang berdaya saing di peringkat global.
Program itu juga, katanya, sejajar agenda Ekonomi MADANI, Dasar Keusahawanan Negara 2030 dan NIMP 2030 bagi memperkasa syarikat pemula serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berinovasi, berkembang serta menembusi pasaran antarabangsa.
“Ia turut menyediakan sokongan menyeluruh merangkumi pembangunan produk, pensijilan, pematuhan peraturan dan pengkomersialan. Program MedTechPreneur 1.0 pula menjadi platform nasional strategik yang menghubungkan penyelidik, universiti, industri dan pelabur bagi menterjemah inovasi tempatan kepada teknologi perubatan bertaraf dunia,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata MedTechPrenuer 1.0 antara platform yang akan membuka peluang untuk usahawan tempatan berkecimpung dalam industri peranti kesihatan dan mengisi ruang dalam rantaian nilai global.
“Bukan sekadar sebagai pengeluar, tetapi juga sebagai pencipta teknologi perubatan masa hadapan. Program MedTechPreneur 1.0 ini turut dilihat selari dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan pertumbuhan inklusif, mampan dan berdaya saing di peringkat global.
“Ia juga seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dan NIMP 2030 yang bersama-sama memacu transformasi industri negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.-BH Online