PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas bagi menangani isu masalah disiplin dan keselamatan di sekolah termasuk yang dikaitkan dengan penggunaan serta pengaruh media sosial, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri akan bermesyuarat mengenai perkara terbabit dalam tempoh terdekat supaya ada tindakan yang boleh dilaksanakan.
“Kita akan adakan perjumpaan mengenai isu ini. Saya sudah komen mengenai sekolah (kejadian) terbabit, tetapi apabila kita lihat secara menyeluruh, hampir kesemuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial dan aplikasi.
“Jadi, mungkin hari ini atau esok saya akan mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri untuk membincangkan perkara ini. (Kerajaan) harus ambil tindakan tegas,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga maut ditikam seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu di sebuah sekolah di Selangor, semalam.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, biarpun tindakan yang bakal diambil mungkin mengundang pelbagai reaksi, kerajaan tidak boleh berkompromi dalam soal disiplin dan keselamatan pelajar.
“Harus ada ketegasan. Kita tidak boleh biarkan isu ini berlarutan kerana hampir semuanya berbalik kepada pengaruh media sosial,” katanya.
Semalam, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah di Selangor.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi di luar kelas dalam kawasan sekolah, dengan setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat pula berkata siasatan awal mendapati terdapat beberapa kesan tikaman di bahagian badan mangsa dan polis merampas dua senjata tajam dipercayai digunakan suspek dalam kejadian terbabit.-BH Online