Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Howard Lutnick, berhubung cadangan tarif sektor yang akan dikenakan AS terhadap beberapa industri termasuk semikonduktor, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, tarif sektor termasuk semikonduktor dan beberapa industri lain masih belum dibincangkan atau dimuktamadkan di bawah Seksyen 232, Akta Perluasan Perdagangan 1962 AS.

“Ketika ini, tarif terhadap semikonduktor masih pada kadar sifar peratus, sama seperti beberapa sektor lain. Sektor yang dikenakan tarif ketika ini ialah automotif, besi, keluli dan perabot.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Lutnick, yang juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin ASEAN minggu depan. Pada masa sama, rundingan dengan Wakil Perdagangan AS (USTR) mengenai perjanjian tarif timbal balik sedang berjalan,” katanya kepada Bernama.

Beliau memaklumkan Timbalan USTR turut berada di Malaysia minggu ini, manakala pasukan dari AS yang tiba pada Ahad kini sedang berunding dengan pihak Malaysia bagi memuktamadkan butiran perjanjian tersebut.

Tengku Zafrul mengesahkan bahawa Malaysia dan AS dijangka menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik semasa Sidang Kemuncak ASEAN minggu depan.

Perkara itu dinyatakannya semasa menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Memperkasakan Ekonomi & Strategi Rundingan Tarif” yang dikendalikan oleh Sherkawi Jirim pada Selasa.

Beliau menjelaskan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang berusaha memuktamadkan perjanjian itu setelah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu dan akan dibawa semula ke mesyuarat seterusnya.

“Perkara utama adalah memastikan perjanjian ini memberi manfaat kepada syarikat tempatan. Saya diberi amanah oleh Perdana Menteri bersama pasukan MITI untuk memuktamadkannya agar dapat ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN nanti. Beberapa negara termasuk Malaysia dijangka menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik bersama AS,” katanya.

Beliau menambah, sektor yang dijangka mendapat manfaat daripada perjanjian tersebut termasuk pertanian, perindustrian, pembuatan serta sektor yang berkait rapat dengan perdagangan dan pelaburan AS.

Menurutnya, perbincangan dengan pentadbiran Trump sebelum ini telah mencapai persetujuan untuk tidak menyentuh isu sensitif seperti hak bumiputera, pemerolehan kerajaan dan sektor halal. Malaysia juga akan memastikan sebarang konsesi kepada AS adalah selaras dengan perjanjian yang pernah dibuat dengan negara lain.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia dan ASEAN turut mencadangkan langkah memperkukuh perdagangan serta pelaburan dengan AS semasa mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN bulan lalu.

“Kita mempunyai Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) dengan AS yang kini sedang dibincangkan, dan proses itu sudah pun bermula. Setakat ini, belum ada kesan negatif terhadap perdagangan atau pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya.– BERNAMA