Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia dan Kemboja menegaskan komitmen bersama untuk terus mempromosi keamanan serta kestabilan serantau sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan Pasukan Operasi ASEAN (AOT) menjadi langkah penting dalam memperkukuh kerjasama keselamatan.

Jelas beliau, mekanisme itu juga bakal memastikan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand dapat dipantau dan dikuatkuasakan secara berkesan.

“Kedua-dua pihak menyambut baik kemajuan dalam memuktamadkan penubuhan AOT. ASEAN yang dipengerusikan Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memudah cara pelaksanaan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand.

Penubuhan AOT akan menjadi mekanisme utama bagi memastikan perjanjian gencatan senjata dilaksanakan seperti yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan rasmi beliau ke Kemboja.

Lawatan berkenaan bersempena Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana ke-13 dan Persidangan Pihak-pihak ke-14 AADMER.

Dalam rangka lawatan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat Kemboja, Samdech Techo Hun Sen, dan Perdana Menteri, Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet.

Pertemuan berkenaan menyentuh pelbagai bidang kerjasama lain termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, pertanian, ekonomi digital, pelancongan serta tenaga kerja.

Perdagangan dua hala Malaysia–Kemboja direkodkan hampir USD750 juta dari Januari hingga Ogos 2025, iaitu peningkatan 45 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Nilai itu dijangka melepasi USD1 bilion menjelang 2026.

Selain itu, kedua-dua pihak turut meneroka kerjasama dalam industri halal, TVET, pertanian sawit dan beras, kesihatan serta pelancongan perubatan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.-Berita RTM