Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Reformasi kewangan segera serta peningkatan daya tahan terhadap perubahan dalam sektor air negara diperlukan untuk menzahirkan agenda Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040). 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menekankan bahawa cabaran yang wujud sama ada tekanan kewangan, peningkatan permintaan, atau perubahan iklim perlu menjadi pemangkin kepada inovasi, reformasi, dan usaha sama yang lebih mendalam.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, reformasi kewangan mesti menjadi keutamaan dan menyeru diwujudkan kerangka kerja pembiayaan yang adil dan lestari, yang menyeimbangkan kemampuan rakyat dengan kekuatan kewangan penyedia perkhidmatan.

Fadillah menegaskan bahawa tarif mesti mencerminkan kos sebenar, sambil memastikan golongan rentan dilindungi melalui mekanisme sokongan yang telus dan bersasar.

“Hanya dengan kestabilan kewangan, utiliti boleh melabur semula, berinovasi, dan membina sektor air yang mampu memenuhi permintaan masa depan,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Makan Malam Tahunan dan Malam Anugerah Persatuan Air Malaysia (MWA) ke-37 disini, hari ini.

Hadir sama ke majlis itu ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Selain itu, katanya kemajuan Malaysia sebagai kuasa digital dan industri menyebabkan permintaan air terus berkembang dari isi rumah dan sektor intensif tenaga.

Untuk menguruskan hal ini, beliau menggesa pendekatan yang bersepadu dan didorong oleh data diguna pakai, yang menghubungkan perancangan air dengan pembangunan industri, reka bentuk bandar, dan perlindungan alam sekitar.

“Strategi utama termasuk ramalan permintaan yang lebih kukuh, penggunaan air yang cekap dan kepelbagaian sumber bekalan melalui air kitar semula, penuaian air hujan, penyahgaraman, dan pengurusan air bawah tanah,” katanya.

Bagi mengatasi cabaran tekanan iklim dan alam sekitar, di mana Malaysia menyaksikan corak hujan yang lebih tidak menentu, kemarau yang lebih lama, dan banjir berulang yang mengganggu bekalan dan mata pencarian, Fadillah mencadangkan pelaburan dalam daya tahan iklim ditingkatkan.

“Langkah ini termasuk melindungi kawasan tadahan air, memodenkan infrastruktur agar tahan terhadap cuaca melampau, mengurangkan kehilangan air tidak berhasil (NRW), dan mengguna pakai amalan pekeliling seperti penggunaan semula dan kitar semula air. 

Beliau turut menekankan kepentingan mengintegrasikan pengawasan alam sekitar dan sistem amaran awal ke dalam perancangan,” katanya.

Beliau berpendapat, Kejayaan AIR2040 bergantung bukan hanya kepada kerajaan, tetapi kepada ekosistem perkongsian di seluruh agensi, pengawal selia, utiliti, akademi, dan industri.

“Kerajaan melalui PETRA, kekal teguh dalam komitmennya untuk menyediakan hala tuju dasar yang jelas dan menyokong usaha sama,” katanya.-BH Online