Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang 73 stesen tolok hujan sebagai persiapan menghadapi cuaca tidak menentu. 

Menteri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata usaha itu juga sebagai persiapan jangkaan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 5 November hingga Mac 2026.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan terutama JKR untuk bersiap siaga dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat akan berlaku. 

“Selain stesen tolok hujan, JKR turut memasang tiga Robotic Total Station (RTS) dan satu unit GNSS (Global Navigation Satellite System) untuk memantau cerun berisiko.

“Berdasarkan data yang diperolehi daripada Sistem Amaran Awal, Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR kemudiannya akan menyalurkan amaran awal kepada JKR daerah dan negeri mengikut tahap sama ada tahap berjaga-jaga, amaran atau bahaya.

“Tindakan pantas, koordinasi dan kesiapsiagaan adalah tanggungjawab bersama untuk melindungi nyawa, harta benda dan infrastruktur,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan KKR di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim.

Sementara itu, mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara LKAN BIL 3/2025 baru-baru ini, Nanta mengakui kecewa dan tidak akan mengambil ringan perkara itu.

Katanya, masih ada projek di bawah KKR dan agensinya yang lewat siap selain ada yang tidak mematuhi spesifikasi, kelemahan dokumentasi dan pengawasan. 

“Sebagai Menteri, saya menerima laporan itu dengan hati yang berat dan terbuka.

“Ada kelemahan yang perlu diperbaiki segera dari aspek pemantauan, kawalan kualiti, hinggalah ke disiplin pelaksanaan projek.

“Saya tidak akan menyapu perkara ini di bawah karpet. Teguran itu bukan hukuman, ia adalah cermin kejujuran institusi pengawasan negara,” katanya.

Beliau berkata, walaupun jumlah projek sakit KKR tidak banyak tetapi ia masih penting untuk diberi perhatian. 

“Walaupun projek sakit hanya antara dua hingga tiga peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan projek tetapi masih penting dan kalau boleh perlu disifarkan. 

“Bagaimanapun, selain projek sakit ada juga projek yang berjaya disiapkan satu tahun lebih awal dari jadual,” katanya.-BH Online