Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja dijangka memeterai perjanjian gencatan senjata pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 diadakan di Kuala Lumpur, yang turut akan disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. 

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penandatangan perjanjian yang dikenali sebagai ‘Kuala Lumpur Accord’ itu bertujuan memastikan kedua-dua negara mampu berdamai dan mematuhi gencatan senjata di kawasan sempadan yang dipertikai.

Beliau mendedahkan Trump akan melawat Malaysia pada 26 Oktober untuk menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan bawah Malaysia selaku pengerusi, termasuk Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

“Kita sedang mengusahakan bersama-sama dengan AS dan Malaysia sebagai pemudah cara untuk memastikan satu gencatan senjata yang lebih meluas dapat diadakan antara pihak Thailand dan Kemboja.

“Ini akan dikawal selia oleh Pasukan Operasi ASEAN (AOT),” katanya kepada pemberita semasa sesi sidang media di Kelab Concorde di sini, hari ini.

Mohamad berkata perjanjian gencatan senjata itu akan menetapkan beberapa syarat terhadap Thailand dan Kemboja, antaranya membersihkan segala periuk api serta mengundurkan jentera perang dari kawasan sempadan.

Thailand dan Kemboja berdepan konflik berlarutan selama beberapa dekad berhubung wilayah di sepanjang sempadan bersama sejauh 817 kilometer.

Pertikaian itu memuncak pada 24 Julai lalu apabila kedua-dua pihak berbalas tembakan, sebelum berakhir pada 28 Julai selepas kedua-dua negara mencapai persetujuan gencatan senjata dalam mesyuarat khas yang dianjurkan oleh Malaysia di Putrajaya.

Sementara itu, Mohamad berkata lebih 80 dokumen dijangka akan diterima pakai sepanjang sidang kemuncak itu, kebanyakannya berkaitan sektor ekonomi.

“Kita juga akan mengadakan mesyuarat mengenai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan perkara ini penting memandangkan keadaan geoekonomi yang tidak menentu,” katanya.

ASEAN dan China juga dijadual menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 semasa sidang kemuncak itu, katanya.-BH Online