KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan mengibarkan bendera Israel di Kelantan baru-baru ini tidak boleh diterima sama sekali tanpa mengira apa jua alasan yang diberikan.
Beliau berkata Malaysia kekal dengan pendirian tegas untuk tidak mengiktiraf Israel dalam apa jua bentuk, termasuk sebarang simbol atau tindakan yang boleh dianggap menyokong rejim tersebut.
“Jadi dasar negara, termasuk bendera walaupun apa matlamatnya, itu adalah salah dan (saya) setuju supaya polis mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Mana ada negara di dunia, sepertimana masa kita dijajah, orang yang angkat bendera Union, kita anggap (mereka) pengkhianat, sama juga dengan apa yang berlaku soal bendera, walau apa pun soalan diberikan, saya setuju tindakan diambil supaya jadi pengajaran jangan berlaku,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Paya Besar Shahar Abdullah yang mempersoalkan sama ada pihak berkuasa mengamalkan “dwi standard” dalam menangani kes seumpama itu.
Sebelum ini media melaporkan penganjur himpunan solidariti pro-Palestin di Kelantan pada 10 Oktober lalu memohon maaf selepas bendera Israel dikibarkan pada acara itu.
Mereka mendakwa bendera itu digunakan hanya gimik semasa melakonkan semula apa yang berlaku kepada sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).
Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar menyifatkan tindakan itu menyinggung perasaan rakyat Malaysia yang bersolidariti dengan perjuangan Palestin.-Berita RTM
