KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Sektor pembinaan negara merekodkan hampir 23,000 projek bernilai lebih RM42 bilion sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pencapaian berkenaan disifatkan sebagai bukti keupayaan KKR dalam memacu pembangunan infrastruktur negara, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Tahun 2025 juga menyaksikan kejayaan besar pelaksanaan reformasi kerenah birokrasi termasuk mempercepat bayaran kontraktor, memperkukuh penyenggaraan jalan G1 hingga G4 bernilai RM450 juta, serta mempertingkat ketelusan melalui penggunaan bon pelaksanaan dan sistem digital bersepadu,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya bagi bulan Oktober 2025, di sini hari ini.
Jelas beliau, kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa komitmen dan kerja keras warga kerja KKR.
Dalam masa sama, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa permulaan fasa pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bakal menjadi ujian sebenar terhadap keupayaan kementerian tersebut untuk kekal relevan menghadapi cabaran masa depan.
“KKR perlu bersikap proaktif, cekap serta berasaskan data dan akauntabiliti dalam setiap tindakan. Kita mesti realistik setiap ringgit peruntukan perlu memberi impak maksimum kepada rakyat,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim.-Berita RTM