KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion dalam agenda memperkukuh syiar Islam di negara ini.
Ia merangkumi insentif bagi menaik taraf prasarana institusi pendidikan berteraskan Islam termasuk sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz.
Sebanyak RM150 juta disediakan bagi menambah baik prasarana sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz termasuk penggantian peralatan pengajian usang di institusi pondok berdaftar
Pada masa ini, terdapat lebih 300 sekolah pondok berdaftar dan hampir 160 tidak berdaftar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bagi mempertahankan kurikulum tradisional, kita sedia menambah ilmu baharu seperti digital, AI (kecerdasan buatan) dan TVET untuk masa depan anak-anak.
“Seramai 720 anak tahfiz akan dibekalkan latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA yang boleh dimanfaat selepas tamat pengajian.
“Selain itu, institusi masjid akan terus diimarah sebagai pusat komuniti.
“Majlis ilmu diperbanyak bagi meningkatkan kefahaman umat MADANI terhadap Islam. Ini termasuk penganjuran Majlis Sama’ Hadis 2026 bagi memberi peluang umat Islam menghayati hadis Baginda Rasulullah SAW yang diperdengarkan dengan bacaan penuh tartil oleh para ulama,” katanya ketika membentangkan Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.
Anwar juga berkata, Anugerah Masjid Malaysia akan diperkenalkan bagi mengiktiraf masjid cemerlang dan Konvensyen Masjid turut dianjurkan sebagai wacana antara imam, ulama, umara, sarjana Islam serta teknokrat.
Beliau berkata, melalui Yayasan Restu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sejuta naskhah al-Quran akan dicetak ke dalam 30 bahasa utama dunia.
Pengumuman lain dalam sektor syiar Islam adalah kenaikan had pengeluaran KWSP bagi tujuan menunaikan ibadat haji dinaikkan kepada RM10,000.
Sebelum ini, bakal jemaah haji dibenarkan untuk membuat pengeluaran melalui KWSP terhad kepada RM3,000.
“Bagi penjawat awam, kemudahan pengeluaran awal gantian award wang tunai gantian cuti rehat (GCR) diperluas bagi tujuan menunaikan haji terhad kepada penebusan RM10,000 dengan peruntukan RM10 juta,” katanya.-BH Online
