KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengesahkan sembilan aktivis Malaysia yang ditahan Israel diterbangkan ke Turkiye malam ini.
Delegasi yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) itu tiba di Istanbul jam 7.30 malam sebelum berlepas pulang ke Malaysia, Ahad ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar dalam hantaran di Facebook.
“Pihak MyCARE sudah menerima pengesahan daripada Wisma Putra bahawa kesembilan delegasi Malaysia yang menyertai FFC dan TMTG akan tiba di Istanbul jam 7.30 malam ini,” katanya menurut hantaran itu.
Kamarul Zaman turut memaklumkan sudah menghantar wakil ke Istanbul untuk menyambut kepulangan sembilan aktivis terbabit.
“Kesemua aktivis dijangka pulang ke Malaysia Ahad ini,” katanya.
Sembilan delegasi Malaysia berkenaan ialah Ketua Misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Hassan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; dua pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar serta aktivis, Dr Maziah Muhammad.
Rabu lalu, sembilan kapal membabitkan Abd Elkarim Eid, Alaa Al-Najjar, Anas Al Sharif, Conscience, Gaza Sunbird, Leila Khaled, Milad, Soul of My Soul dan Umm Saad dipintas tentera Israel ketika dalam pelayaran di kedudukan 120 batu nautika (zon kuning) dari Gaza.
Semua kapal terbabit kemudian dibawa ke Pelabuhan Ashdod sebelum 145 aktivis dibawa ke Penjara Ketziot untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa Israel.
Kapal Conscience yang membawa lapan rakyat Malaysia tiba di pelabuhan pada 12.45 tengah malam, manakala kapal terakhir Umm Saad yang dinaiki seorang lagi rakyat Malaysia tiba pada 6 pagi waktu Malaysia.
Rakyat Malaysia yang berada dalam kapal Umm Saad pula ialah Dr Maziah Muhammad.
Misi itu dijalankan di bawah gabungan FFC dan TMTG dengan 10 bot berlepas pada 27 September lalu dari Itali, manakala kapal Conscience dilancarkan di Porto Otranto, Itali dengan peserta berlepas pada 30 September.
Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.-BH Online
