Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Semua pegawai Agensi Kawalan Sempadan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di kaunter manual pemeriksaan dokumen perjalanan di pintu masuk negara diwajibkan untuk memakai kamera badan bagi tujuan merakam setiap interaksi dengan pelawat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia sebahagian daripada pendekatan teknologi diguna pakai untuk mengekang risiko kegiatan sindiket ‘counter setting’ yang melibatkan pegawai di pintu masuk negara termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas lanjut, katanya selain penggunaan kamera badan, kaunter manual pemeriksaan dokumen perjalanan juga akan dipantau sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar yang dilengkapi analisis video berasaskan AI. 

“Melalui kaedah ini, sebarang tingkah laku mencurigakan seperti percubaan terlarang dapat dikesan dengan lebih awal, sekali gus menutup ruang kepada amalan tidak berintegriti dan meningkatkan akauntabiliti pegawai di lapangan,” katanya melalui jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai langkah tegas kementerian bagi menangani sindiket ‘sounter setting’ yang masih berterusan berlaku susulan penangkapan 18 pegawai AKPS dalam Ops Rentas dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat ke arah pendekatan teknologi yang menekankan kaedah automasi, saringan pintar serta pengurangan intervensi manusia dalam proses kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi mengekang risiko kegiatan sindiket ‘counter setting’.

Pendekatan ini, katanya dilaksanakan di samping tindakan berunsurkan ‘punitive’ (hukuman) dan ‘preventive’ (pencegahan) seperti tatatertib, kawalan dalaman seperti semakan perisytiharan harta yang lebih teliti dan pemantauan gaya hidup pegawai serta pelaksanaan program-program pengukuhan integriti.

Mengulas lanjut pendekatan itu, beliau berkata pelaksanaan Risk Assessment Engine (RAE) yang dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, selain memperkenal Foreign Digital Identity (FDI) bagi mewujudkan identiti digital tunggal untuk setiap pelawat asing.

Identiti digital ini, katanya akan disepadukan dengan sistem biometrik terpusat yang merangkumi tiga ciri utama iaitu cap jari, imbasan iris dan pengecaman wajah. 

“Dengan adanya tiga ciri biometrik ini, setiap pelawat akan mempunyai satu rekod rasmi yang unik dan sukar untuk dipalsukan atau dimanipulasi.

“KDN juga melaksanakan Sistem Pemeriksaan Penumpang Awal (APSS) yang mana ia berfungsi menyaring maklumat pelawat sebelum ketibaan mereka di pintu masuk negara,” katanya.

Mesin autogate benteng kekang ‘counter setting’

Tambah Saifuddin, KDN juga akan memperluas penggunaan mesin ‘autogate’ sebagai benteng utama menentang amalan ‘counter setting’ yang mana untuk pelepasan masuk ia kini dibuka kepada pelawat dari 63 negara serta pemegang pas jangka panjang. 

“Bermula Oktober 2025, kemudahan pelepasan masuk melalui mesin autogate akan dilaksanakan terlebih dahulu di pintu masuk utama sebelum diperluaskan secara berperingkat ke semua pintu masuk negara menjelang 2028.

“KDN juga akan memperkukuh aspek pengawasan digital dan integriti data bagi kaunter manual yang masih beroperasi,” katanya.

Saifuddin mengakui isu ‘counter setting’ membabitkan pegawai di pintu masuk negara termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merupakan perkara serius yang mendapat perhatian penuh kerajaan. 

Bagaimanapun, katanya melalui kombinasi pendekatan tegas, pemantauan bersepadu, penggunaan teknologi moden serta pembangunan budaya integriti, kerajaan yakin gejala rasuah di pintu masuk negara dapat ditangani secara lebih berkesan, sekali gus memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara terus terpelihara.-BH Online