MELAKA: Malaysia berupaya menganjurkan program bertaraf dunia dengan lebih cemerlang berbanding negara lain sekiranya semangat perpaduan rakyat terus diperkukuh, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata, kekuatan rakyat yang bersatu dan saling membantu menjadi asas kepada kemampuan negara untuk melaksanakan penganjuran acara berskala besar.
“Jika rakyat bersatu dan saling membantu dengan semangat perpaduan yang kukuh, kita bukan sahaja boleh menganjurkan program bertaraf tempatan dan antarabangsa, malah mampu menganjurkan acara bertaraf dunia,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC2025) di Hotel DoubleTree by Hilton, Banda Hilir di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama pemimpin dan penggiat industri pelancongan dari 155 negara.
King Sing mengulas kejayaan selaku tuan rumah kepada penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 di Melaka sejak semalam, selain pelaksanaan pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 malam tadi.
Beliau berkata, penganjuran tiga acara utama itu menjadi bukti keupayaan Malaysia menganjurkan acara besar yang berprestij di peringkat global.
“WTD dan WTC adalah platform global yang signifikan dan buat pertama kali dalam sejarah, kita menjadi tuan rumah, sekali gus membuktikan kemampuan negara di pentas dunia
“Kejayaan itu harus dijadikan pemangkin untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap potensi Malaysia dalam sektor pelancongan dan acara global,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak, khususnya kerajaan Melaka, pasukan keselamatan, jabatan serta agensi kerajaan serta swasta dan individu yang menjayakan WTD, WTC serta pelancaran TMM2026.-BH Online