SANDAKAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan syarat untuk menjadi pemimpin kerajaan ialah mesti bersih, mempunyai dasar yang jelas serta menjaga kebajikan rakyat.
Pada musim pilihan raya, Perdana Menteri berkata, dalam kalangan pemimpin atau calon, masing-masing ingin menjadi hero dan kualiti menjadi pemimpin perlu dibuktikan kepada rakyat.
“Saya terangkan supaya rakyat tidak ditipu, orang datang sini (mahu menjadi calon pilihan raya) semua berlagak sebagai pejuang … pemerintah mesti bersih.
“Yang kedua, dasar mesti jelas supaya orang luar tengok dan datang ke Malaysia berkeyakinan untuk melabur; ketiga, dasar kita juga mesti menjaga rakyat,” katanya.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika berucap pada program Himpunan dan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Anwar menekankan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti, calon pemimpin yang dipilih rakyat sama ada daripada parti nasional atau parti tempatan, mestilah boleh melaksanakan tugas dengan baik.
“Yang bertanding ini ialah orang Sabah, sama ada parti itu parti nasional atau parti Sabah, itu pilihan rakyat untuk menentukan kerajaan negeri.
“Oleh itu, yang patut kita pilih orang (calon) itu mestilah baik, orang itu jangan curi (duit rakyat)… orang itu boleh kerja dengan baik, boleh kerja dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.null
Anwar berkata, melalui pemimpin yang bertanggungjawab, Malaysia secara keseluruhan mampu menjadi negara dengan ekonomi yang paling berjaya di rantau ini.
Mengambil contoh pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) di Sabah yang sebelum ini mengalami kelewatan, Anwar berkata, perkara itu berpunca daripada corak kepimpinan yang kurang baik.
Justeru, beliau berharap rakyat di Sabah akan memilih pemimpin yang seiring dengan dasar serta matlamat Kerajaan MADANI pada peringkat persekutuan.-BH Online