Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 25 September– Setelah hampir 15 tahun, warga kerja dan mahasiswa Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) kini tidak lagi berdepan kesukaran menunaikan solat di Masjid Al Imam As Syafie Kuala Lumpur apabila laluan khas yang menghubungkan kedua-dua institusi itu telah dibuka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata kemudahan itu membuka ruang untuk jalinan kerjasama yang kukuh melalui pengimarahan pelbagai program.

“Kita mahu wujudkan sinergi mantap antara pengurusan Masjid Al Imam Al Syafie dan KPMAIWP. Dengan cara itu, kita dapat menghayati seruan al-Quran supaya bekerjasama ke arah kebaikan dan ketaqwaan.

Kita mahu melahirkan pemimpin masa depan, dan mereka tidak boleh menjadi pemimpin yang baik jika hubungan dengan Allah SWT renggang,” kata Datuk Dr. Mohd Na’im, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Laluan Khas Kolej Profesional MAIWP dan Masjid Al Imam Al Syafi’ie di ibu negara. 

Tambahnya, pelbagai program telah dirangka melibatkan mahasiswa dan pihak masjid bagi mengeratkan hubungan kerjasama.

Sementara itu, KPMAIWP turut berganding bahu dengan Malaysian Nature Society (MNS) menanam 1,000 pokok di sekitar kampus sebagai usaha memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam.-Berita RTM