Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Semua pelajar terlibat dalam insiden gurauan melampau menyerupai perbuatan buli di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang rakaman video insiden itu tular di media sosial baru-baru ini, digantung pengajian selama seminggu bermula semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN yang diadakan semalam turut memutuskan elaun mereka diberhentikan serta-merta, selain perlu melaksanakan kerja amal, melapor diri secara berkala dengan pegawai disiplin dan ditahan atau dilarang keluar kampus atau ‘outing’ selama sebulan.

“Mangsa termasuk pelajar terbabit juga diwajibkan mengikuti sesi kaunseling yang diaturkan oleh IKBN Miri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hannah menegaskan, kementerian memandang serius insiden itu kerana gurauan keterlaluan tidak boleh diterima sama sekali, selain menjadi budaya tidak sihat dan bercanggah dengan nilai institusi pendidikan.

Katanya, KBS kekal berpendirian bahawa perlakuan keterlaluan tidak boleh dianggap remeh kerana institusi pendidikan mesti menjadi persekitaran selamat serta berintegriti dalam membina sahsiah belia.

“Antara langkah pencegahan yang diputuskan termasuk pemantauan lebih kerap oleh Unit Hal Ehwal Pelajar, sesi motivasi serta kaunseling berterusan dengan bantuan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Langkah lain akan diambil, katanya, melantik Pegawai Perhubungan Institut bagi melaksanakan program pencegahan keganasan dan buli bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk sesi ceramah suku tahunan.

Menurut Hannah, pelaksanaan peti aduan juga akan diperluaskan bagi memudahkan pelajar menyalurkan aduan dengan segera demi memastikan kes seperti itu tidak berulang pada masa akan datang.

Baru-baru ini, tular rakaman video berdurasi 13 saat memaparkan sekumpulan pelatih lelaki mengangkat seorang rakan mereka dalam keadaan kaki terkangkang dan menghentaknya ke tiang, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai kemungkinan ia kes buli.-BH Online