PETALING JAYA: Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) komited melantik seorang pegawai Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai Felo Pelawat ASEAN di WIPO yang berpangkalan di Geneva, Switzerland.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelantikan itu akan menyumbang kepada penyelidikan berasaskan data mengenai ekosistem inovasi dan menilai kesan dasar terhadap aktiviti inovatif, sekali gus memperkukuh kepakaran serantau dalam bidang ekonomi inovasi dan harta intelek.
Beliau berkata, WIPO turut mempelawa pegawai paten, profesional paten dan agensi kerajaan yang berminat meningkatkan kemahiran penggubalan paten mengikut piawaian antarabangsa untuk mengikuti program latihan praktikal WIPO International Patent Drafting Training Program.
Menurutnya, inisiatif itu turut merangkumi Inventor Assistance Program (IAP) yang membuka peluang kepada pencipta individu dan perusahaan kecil mendapatkan bimbingan profesional secara pro bono sepanjang proses permohonan paten.
“Inisiatif ini memberi manfaat kepada profesional paten dengan meningkatkan kemahiran penggubalan paten serta memperkukuh reputasi perkhidmatan mereka, di samping membantu mempertingkatkan kualiti permohonan paten tempatan dan memperkukuh ekosistem inovasi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, MyIPO dan WIPO memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan kerjasama dalam bidang harta intelek dan inovasi dengan penekanan kepada pemajuan sistem paten negara.
MoU itu disempurnakan Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff dan Ketua Pengarah WIPO, Daren Tang Heng Shim yang disaksikan Armizan di Menara MyIPO di sini hari ini.
Dalam kenyataan sama, Armizan berkata MoU itu adalah sebahagian pendekatan untuk memastikan ekosistem harta intelek dan inovasi Malaysia terus berkembang serta berdaya saing di peringkat global.
“Melalui MoU ini, MyIPO dan WIPO akan meningkatkan kerjasama serta pertukaran pengetahuan antaranya dalam memperluaskan latihan dan pembangunan kapasiti, mengukuhkan penguatkuasaan hak harta intelek dan menyediakan sokongan serta bantuan teknikal,” katanya.
Selain itu, Malaysia dan WIPO turut bersetuju meneroka pelbagai kerjasama strategik antaranya penglibatan dalam Projek Analitik Paten ASEAN yang menampilkan kejayaan inovasi tempatan seperti MyB Prosthetic Limb Technology di peringkat global.
Armizan berkata Malaysia juga akan memainkan peranan aktif dalam Projek ASEAN Lab2Market untuk menggerakkan komersialisasi inovasi universiti dan Projek Pembiayaan IP ASEAN yang membangunkan metodologi serta instrumen pembiayaan berasaskan harta intelek bersama institusi kewangan.
Beliau berkata kementerian percaya kerjasama strategik itu akan menjadi pemangkin penting dalam mengangkat Malaysia sebagai negara proaktif dalam pemerkasaan harta intelek seiring aspirasi Malaysia MADANI untuk memacu ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi mampan.-BH Online