Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KAJANG: Kerajaan mengumumkan penggantian MyKad percuma bagi individu yang mengalami masalah cip rosak pada kad pengenalan mereka bermula esok sehingga 7 Oktober.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penukaran boleh dilakukan di mana-mana kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara.

“Ingin saya tegaskan bahawa Kerajaan Madani prihatin untuk menanggung sepenuhnya kos dalam tempoh ini bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi ini tidak akan terjejas hanya kerana masalah teknikal.

“Ini bagi memastikan setiap warganegara yang layak dapat menikmati manfaat subsidi BUDI95 dengan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad diterima sejak Januari hingga Ogos atas sebab cip atau kad rosak.

Katanya, trend permohonan meningkat ketara sejak tiga bulan lalu bermula Jun sebanyak 32,819 permohonan, Julai (40,371), dan Ogos (45,411).

“Bagi bulan September sehingga semalam, JPN menerima sebanyak 22,858 permohonan dan berdasarkan purata penggantian dua bulan terkini, purata permohonan bagi kategori cip rosak direkodkan pada sekitar 43,000 unit cip sebulan.

“Oleh itu penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula esok sehingga 7 Oktober ini dianggarkan melibatkan kosRM714,660 termasuk kos-kos lain yang berkaitan,” katanya.-BH Online