KOTA BHARU: Orang ramai diingatkan tidak menggunakan laluan haram untuk ke Thailand meskipun berlaku kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor serta Bukit Bunga.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata mereka mesti mematuhi prosedur dan saluran yang betul jika tidak mahu berdepan tindakan undang-undang.
“Kita tahu suasana di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor sesak dengan kehadiran ribuan rakyat Malaysia, khususnya dari Kelantan, yang mengambil peluang cuti panjang untuk bercuti dan membeli-belah di negara jiran.
“Namun, mereka perlu akur dengan undang-undang… jika tertangkap, mereka boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut menasihati rakyat Malaysia yang bercuti ke Thailand supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri selain mematuhi undang-undang negara berkenaan.
“Jangan leka dengan suasana meriah di sana… pastikan dokumen perjalanan lengkap, elakkan aktiviti menyalahi undang-undang termasuk memandu melebihi had laju dan jangan membawa masuk barangan terlarang ke Malaysia,” katanya.
Mohd Yusoff juga berkata Polis Kelantan sentiasa memantau pintu sempadan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan rakyat namun sikap berhati-hati perlu datang daripada orang ramai sendiri.
“Pihak berkuasa tidak boleh menghalang orang ramai bercuti ke Thailand tetapi keadaan di negara jiran masih belum sepenuhnya selamat.
“Secara peribadi, saya berpendapat lebih baik bercuti dalam negara kerana ia lebih selamat,” katanya.
Musim cuti panjang sempena Hari Malaysia menyaksikan lonjakan pelancong ke Thailand yang dibuktikan oleh jumlah kenderaan beratur panjang di ICQS sejak kelmarin.-BH Online