Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pemasangan jambatan Bailey dilakukan segera di Sungai Kaiduan, Papar, Sabah yang terputus hubungan selepas jambatan di kawasan itu runtuh akibat banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat itu meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Rejimen Askar Jurutera Diraja, yang memiliki kepakaran khusus dalam pembinaan jambatan Bailey, supaya melaksanakan pemasangan di kawasan terjejas dengan segera.

“Saya difahamkan jambatan di Sungai Kaiduan telah runtuh akibat banjir sehingga menyebabkan kawasan tersebut terputus hubungan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata pembinaan jambatan itu perlu disegerakan kerana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah membekalkan tiga unit jambatan keluli bermodular atau Jambatan Bailey kepada Kerajaan Negeri Sabah tahun lalu.

Ia sebagai sebahagian daripada keperluan logistik untuk meningkatkan kesiapsiagaan infrastruktur dalam mendepani bencana.

Beliau juga berkata JKR Sabah turut memberi tumpuan kepada kerja-kerja baik pulih infrastruktur di Jalan Penampang-Tambunan berikutan kejadian tanah runtuh yang menjejaskan laluan utama.

Ahmad Zahid berkata kerja-kerja pembersihan runtuhan, penstabilan cerun dan pembaikan segera sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama syarikat konsesi.

“Usaha ini termasuk menyusun kerja-kerja pembinaan semula jambatan gantung yang terputus, membina semula tembok penahan cerun di kawasan perumahan yang rosak akibat hakisan serta membaiki jalan raya yang runtuh,” katanya.null

Beliau berkata selain kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana di Sabah.

“Ribuan terima kasih diucapkan atas kerjasama dan sumbangan yang diberikan kepada mangsa bencana.

“Antara bantuan yang dihulurkan ialah makanan sedia dimakan, barangan keperluan harian, selimut, tilam, bantal serta bantuan logistik,” katanya sambil menambah usaha itu secara tidak langsung membantu meringankan beban mangsa dan menyokong kelancaran operasi bantuan di kawasan bencana.

Ahmad Zahid juga berkata Ketua Pengarah NADMA Datuk Abdul Halim Hamzah telah ke Sabah bersama dengan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab bagi membantu menyelaras pengurusan bencana di negeri itu.

“Saya turut mendoakan semua negeri yang ditimpa musibah banjir akan segera pulih dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa dalam masa terdekat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta dan mahu tindakan awal disegerakan khususnya melibatkan kemudahan awam, jalan-jalan kecil, sekolah, klinik kesihatan dan sebagainya.-BH Online