KEPALA BATAS, 16 September – Memorial Tun Abdullah Ahmad Badawi bakal didirikan di Vision Park, Bertam, Kepala Batas, selepas kerajaan negeri Pulau Pinang bersetuju menyerahkan tapak pembinaan kepada Kerajaan Persekutuan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, projek berkenaan masih di peringkat cadangan awal dan memerlukan penelitian rapi serta peruntukan besar daripada kerajaan Persekutuan.
“Tanah sudah ada dan kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyerahkan tapak di Vision Park. Bagaimanapun, reka bentuk memorial masih dalam peringkat perbincangan dan kita akan memohon peruntukan baharu daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Mengenang Negara Tun Abdullah Ahmad Badawi: Bapa Pembangunan Modal Insan di Kepala Batas.
Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan merupakan seorang negarawan terulung, antaranya melalui penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan usaha memperkukuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika pentadbirannya.
Ketokohan serta sumbangan beliau akan dikumpul dan dipelihara sebagai khazanah negara menerusi pembinaan memorial berkenaan hasil kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dengan Arkib Negara Malaysia.-Berita RTM