KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan akan terus komited terhadap pembangunan karier pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan susulan kejayaan bersejarah mereka di pentas Eropah, semalam.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata sokongan padu akan diteruskan bagi memastikan kedua-dua pelumba itu mampu melakar lebih banyak kejayaan yang membanggakan negara.
Jaminan itu hadir selepas Hakim, 18, berjaya mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) apabila menamatkan kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 di kedudukan ketiga keseluruhan, manakala Qabil, 13, mengesahkan gelaran juara keseluruhan ESBK Talent lebih awal.
“Syabas dan tahniah kepada Hakim dan Qabil atas kejayaan yang amat membanggakan.
“Kejayaan ini membuktikan semangat juang, dedikasi dan disiplin tinggi mampu membuahkan kejayaan sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
“KBS akan terus menyokong perjalanan Danish dan Qabil, agar menggapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” kata Hannah.
Qabil dari Terengganu dinobatkan juara keseluruhan selepas memenangi Perlumbaan 2 di Litar Estoril, Portugal semalam apabila pungutan mata yang dikumpulnya, 252 mata tidak lagi mampu dicabar pelumba lain sekalipun kejuaraan masih berbaki satu pusingan.
Di Litar Misano, Itali, Hakim Danish berjaya menamatkan musim di tempat ketiga keseluruhan, satu pencapaian yang menepati KPI yang ditetapkan kepadanya untuk beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 musim depan.
Pencapaian itu juga membuktikan peningkatan prestasi pelumba itu yang menamatkan saingan di tempat ke-12 pada 2023 dan keenam musim lalu.-BH Online
