Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MASJID TANAH: Pantai Tanjung Bidara bakal berwajah baharu bermula tahun depan dengan penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan awam bagi menjadikannya destinasi pelancongan ikonik yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pembangunan itu dilaksanakan secara berperingkat, memberi tumpuan kepada aspek keselesaan dan keselamatan pengunjung.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, berkata sebagai langkah awal, semua struktur bangunan lama sudah dirobohkan dan diganti binaan baharu yang lebih moden serta mesra pelancong.

“Kita juga memperluas kawasan parkir selain menyediakan ruang khusus untuk peniaga kecil supaya mereka turut merasai limpahan manfaat sektor pelancongan,” katanya selepas menutup Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025, di sini hari ini.

Pesta berlangsung tiga hari itu mencatatkan kehadiran lebih 25,000 pengunjung termasuk peserta bagi 40 program yang disediakan.

Ia termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan Raja dan Ratu Dondang Sayang serta aktiviti rekreasi bersama agensi keselamatan termasuk polis, bomba dan tentera.

Abd Rauf berkata, pihaknya mahu menjadikan Tanjung Bidara bukan sahaja pusat rekreasi keluarga, tetapi pentas memartabatkan seni budaya Melayu.

Katanya, penyertaan murid sekolah rendah dan menengah dalam tarian tradisional, misalnya memberi nilai tambah dalam usaha memupuk kecintaan terhadap warisan negeri.

“Sebagai tarikan tambahan, satu litar kawalan jauh (RC) bernilai RM500,000 turut dirasmikan hari ini dan dijangka menjadi tumpuan peminat sukan lasak serta hobi, termasuk pelancong antarabangsa.

“Serentak kejayaan penganjuran kali kedua itu, Pesta Pantai Tanjung Bidara akan diteruskan sebagai acara tahunan berskala lebih besar dengan sasaran memberi impak positif terhadap ekonomi setempat,” katanya.-BH Online