KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerima lebih daripada 40 cadangan inisiatif daripada pihak industri bagi Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada bulan depan.
Menerusi hantaran di laman X, Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata antara cadangan itu merangkumi insentif fiskal dan bukan fiskal, teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Cadangan lain termasuk agenda pelaburan hijau, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pembangunan bakat, pekerjaan dan struktur gaji serta sokongan eksport dan perjanjian perdagangan bebas (FTA).
“Perbincangan secara bersemuka bersama kapten-kapten (pemimpin) industri ini amat penting untuk memastikan suara pemain industri didengari dalam merangka dasar dan strategi ekonomi negara yang inklusif, berdaya saing serta mampan.
“Terima kasih kepada semua wakil industri yang hadir dan berkongsi pandangan yang membina ini. MITI juga komited untuk memperkasa ekosistem perindustrian dan perdagangan negara demi pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan dan inklusif,” katanya.
Terdahulu, Tengku Zafrul mengadakan sesi dialog bersama pemain industri menerusi Sesi Dialog Belanjawan 2026 MITI yang juga agenda libat urus tahunan kementerian berkenaan.-BERNAMA