MELAKA: Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya insiden ke atas Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, yang cedera dilontar batu ketika mengawal keadaan dalam operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan ganas sehingga mencederakan penjawat awam itu tidak boleh diterima dan adalah perbuatan jenayah.
Susulan itu, beliau mengarahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengambil tindakan segera dan tegas mengesan pelaku serta mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang.
“Perbuatan ini tidak ada kena-mengena dengan hak kebebasan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia adalah perbuatan jenayah yang mesti diambil tindakan segera.
“Kerajaan MADANI berpegang kepada prinsip menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan beradab, namun kebebasan berhimpun itu perlu seiring dengan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak.
“Penganjur ada tanggungjawab, peserta juga ada tanggungjawab, malah polis juga ada tanggungjawab kerana hak berhimpun tidak boleh dijadikan alasan melanggar undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerah tugas Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Ke-19 Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-19 kepada wakil Filipina di Banda Hilir di sini, hari ini.
Beliau mengulas insiden menimpa Sulizmie Affendy yang cedera susulan kekecohan akibat rempuhan penduduk Kampung Sungai Baru yang mendesak untuk masuk ke kawasan operasi.null
Sulizme dilihat mengalami luka berdarah pada bahagian muka.
Saifuddin berkata, tindakan mencederakan penjawat awam ketika melaksanakan tugas bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menimbulkan ketegangan yang menggugat ketenteraman awam.
Serentak itu, beliau memberi amaran terhadap cubaan pihak tertentu cuba menunggang isu pembangunan Kampung Sungai Baru untuk kepentingan politik.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja menghasut masyarakat tetapi juga menyebarkan maklumat palsu bertujuan menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai.
“Sepintas lalu mereka mahu dilihat membela (penduduk), tetapi hakikatnya mereka menyemarakkan kebencian, menimbulkan tohmahan dan seterusnya menganjurkan keganasan dan gejala itu sangat berbahaya jika tidak dibendung kerana boleh menggugat kestabilan negara.
“Berhati-hati dengan cubaan sebegini kerana akhirnya yang rugi adalah masyarakat apabila keadaan menjadi tidak tenteram,” katanya.-BH Online