Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri mengumumkan 42 inisiatif tambahan membabitkan jumlah keseluruhan RM209 juta untuk dikembalikan semula kepada seluruh rakyat negeri ini susulan pencapaian baik ekonomi Johor setakat ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata secara keseluruhan, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada 1.9 juta penerima di seluruh negeri ini bagi menghadapi cabaran kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, inisiatif itu merangkumi 25 inisiatif membabitkan beban kos sara hidup rakyat dan 17 lagi inisiatif tambahan dalam peningkatan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi serta kesejahteraan sosial.

“Setiap ringgit hasil negeri yang bertambah, tidak hanya diangkat sebagai pencapaian dalam bentuk angka semata-mata, tetapi apa yang lebih penting dan bermakna adalah hakikat, ia akan disalur serta dikembalikan, terus kepada rakyat.

Peningkatan hasil negeri yang naik secara drastik ini disebabkan sumbangan melalui Johor-Singapura Zon Ekonomi Khas (JS-SEZ).null

“Kerajaan Negeri akan memastikan, limpahan hasil ini akan sentiasa disalurkan kepada rakyat Johor di setiap pelusuk negeri bukan sahaja di kawasan JS-SEZ,” katanya ketika Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor di Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Kota Iskandar di sini, semalam.

Perkara diumumkan itu menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Anuar Abd Manap; ADUN Gambir, Sahrihan Jani; ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan ADUN Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri yang bertanya mengenai inisiatif kerajaan negeri bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup serta kesejahteraan rakyat.

Sedia bantuan makanan

Menurut Onn Hafiz, bagi 25 inisiatif tambahan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat adalah pertama, Program Infaq Jumaat Johor yang bertujuan, menyediakan bantuan makanan kepada masyarakat setiap hari Jumaat.

Selain itu, katanya, inisiatif Jualan Kasih Johor juga akan diperluaskan ke 252 lokasi; selain agihan Bakul Makanan juga akan dilaksanakan di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memberikan inisiatif Bantuan Tunai One-Off kepada Mahasiswa Anak Johor; pelajar Tingkatan 6 dan Asasi; pemandu e-hailing dan p-hailing; pemandu teksi; veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pesara polis; petani; nelayan; penternak; warga emas; anak yatim; penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Orang Kurang Upaya (OKU); peserta Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Rumah Sewa Kerajaan (RSK) serta pekerja am pembersihan awam dan sisa pepejal (SWM) warga Malaysia.

“Selain itu, inisiatif tambahan 2,000 laptop untuk mahasiswa; sumbangan ‘Stationery Kit’; Makanan Percuma Untuk Program Tuisyen SPM B40; agihan Bakul Kasih Deepavali 2025; inisiatif Aktiviti Kemasyarakatan Kaum Cina; bantuan kepada 34 pusat jagaan anak yatim dan Program Jenguk Jiran; Skim Peralatan Perniagaan (SKIPP) dan Penyediaan Khemah untuk usahawan mikro.

Peningkatan infrastruktur

Katanya, selain itu 17 inisiatif tambahan merangkumi peningkatan infrastruktur membabitkan inisiatif bagi menyelesaikan 158 isu yang dibangkitkan melalui Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) dengan peruntukan berjumlah RM12.61 juta.

Selebihnya adalah inisiatif memasang mercu tanda bagi mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026 di 21 lokasi; inisiatif projek kecil khas 6 PBT; pembaikan papan tanda dan tiang gantri di Johor Bahru serta baik pulih tembok Kompleks Pekan Rabu Kluang.

“Kita juga akan memberi melalui inisiatif naik taraf 17 hentian bas di Johor Bahru; sokongan pemindahan perkhidmatan serta pembangunan Klinik Ibu Anak dan Pusat Pembekalan Ubat Susulan Setempat (PPUSS).

“Selain itu, inisiatif peralatan tambahan hospital dan poliklinik dan bantuan 104 unit katil hospital.

“Inisiatif sokongan 117 sukarelawan Southern Volunteers di hospital; Program Kenegaraan Tingkatan 6; Penganjuran Johor Business Summit 2025; Jelajah Mahasiswa Johor; inisiatif Penyelenggaraan sistem PADU PUJB dan inisiatif Pengurusan DUN dan juga Bantuan Untuk Menghadapi Monsun Timur Laut kepada 56 DUN,” katanya.

Terdahulu, Onn Hafiz berkata, lebih RM20 juta yang memanfaatkan lebih 200,000 rakyat Johor turut disalurkan dan terbahagi kepada RM4.6 juta untuk peneroka FELDA yang membabitkan 14 inisiatif; RM3.87 juta untuk Orang Asli melalui sembilan inisiatif; RM5 juta untuk ibu tunggal dan RM5 juta bagi pesakit kanser.

“Syukur Alhamdulillah, Johor kini berada pada landasan amat baik. Segala usaha kita bersama dalam membangunkan negeri ini sudah mula membuahkan hasil dengan pencapaian demi pencapaian membanggakan,” katanya.

Pelaburan RM56 bilion

Onn Hafiz berkata, bagi suku kedua tahun ini sahaja, Johor mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM56 bilion, sekali gus meletakkan Johor di tangga tertinggi dari segi Pelaburan Langsung Asing (FDI) negara.

Malah, katanya, buat kali pertama dalam sejarah negeri, Johor merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 6.4 peratus, pertumbuhan yang telah melangkaui purata nasional dan menjadikan Johor negeri dengan pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia pada tahun lalu.

“Prestasi hasil negeri dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini iaitu dari 2015 hingga 2021 menunjukkan hasil negeri adalah sekitar RM1.5 hingga RM1.7 bilion.

“Bermula 2022, hasil negeri mula menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan secara konsisten sebanyak RM200 juta hingga RM300 juta setahun.

-“Pada tahun ini pula, Johor berada dalam landasan untuk merekodkan unjuran hasil negeri sebanyak RM2.5 bilion iaitu rekod tertinggi dalam sejarah Johor,” jelasnya.-BH Online