Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: ASEAN wajar mengadaptasi konsep keterangkuman perniagaan sebagai usaha menamatkan kemiskinan tegas dalam kalangan rakyat di rantau berkenaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, ASEAN perlu menggunakan konsep berkenaan sebagai peranan bersama, bukannya menjadikan keterangkuman perniagaan sekadar slogan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, peranan itu wajar dimainkan ASEAN, selari tekad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan kemiskinan tegar menjelang 2030.

Katanya, biarpun kadar kemiskinan di rantau ASEAN menurun secara mendadak kepada 15 peratus ketika ini, berbanding 47 peratus pada 1990, namun jutaan orang masih terdedah kepada kemiskinan, terutama di luar bandar serta dalam kalangan wanita dan belia.

“Keterangkuman perniagaan bukan sekadar kisah Malaysia, sebaliknya di seluruh ASEAN. Negara anggota sedang mengambil langkah serupa.

“Dengan populasi lebih 670 juta penduduk, rantau kita memiliki potensi sangat besar dan ia perlu dikongsi secara adil. Konsep ini bukan sekadar pendekatan ekonomi bijak, sebaliknya penunjuk moral bagi masyarakat adil dan penyayang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Keterangkuman Perniagaan ASEAN 2025, di sini, malam ini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementeraian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud serta Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.null

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengibaratkan ASEAN seperti kaleidoskop hidup yang kaya dengan pelbagai bahasa, kemahiran, tradisi dan kepercayaan.

Beliau berkata, kepelbagaian itu bukan beban, tetapi kekuatan terbesar dan mampu memacu ketahanan, inovasi dan pertumbuhan mampan apabila disalurkan melalui pendekatan keterangkuman perniagaan.

Namun, katanya, kesedaran semata-mata tidak memadai, sebaliknya usaha perlu digembeling bagi merealisasikan visi untuk mencipta kerangka sokongan yang membolehkan keterangkuman perniagaan berkembang.

“Ini merangkumi pembiayaan kepada golongan terpinggir, dasar memberi ganjaran kepada model inklusif, peraturan mengurangkan halangan serta pembangunan bakat yang melahirkan juara masa depan.

“Keperluan ini sangat mendesak, di Asia Tenggara, seramai 350 juta orang masih tidak memiliki akses kepada kredit, manakala 39 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana menghadapi jurang pembiayaan yang mencecah AS$300 bilion.

“Atas semangat inilah saya bakal melancarkan Rangka Kerja Pembinaan Keupayaan dan Pembangunan Bakat bagi Keterangkuman Perniagaan ASEAN tidak lama lagi yang akan menjadi panduan praktikal untuk membantu kementerian dan agensi memperkukuh ekosistem berkenaan serta mengintegrasikannya ke dalam strategi nasional,” katanya.-BH Online