LIMBANG: Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) diharap dapat memberikan keselesaan buat penduduk di utara Sarawak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan memahami kesukaran mobiliti penduduk utara Sarawak, terutamanya dalam aspek akses kepada jalan raya lebih baik.
Perdana Menteri berkata faktor geografi di kawasan itu juga menjadi cabaran untuk melaksanakan projek tertentu, yang boleh membuatkan kos sesuatu projek menjadi lebih tinggi.
“Tadi saya naik helikopter dari Miri ke Limbang dan perlu melalui negara Brunei, saya faham betapa sukarnya buat penduduk di kawasan ini.
“Semasa menaiki helikopter, saya dapat melihat kawasan berbukit-bukau yang tinggi, sebab itu kos (melaksanakan projek) lebih tinggi (di sini) dan memerlukan dana besar,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran projek SSLR Fasa 2 di Nanga Medamit di sini, hari ini.
Turut hadir Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Projek SSLR Fasa 2 dijangka siap pada tahun 2029 melibatkan anggaran kos RM7.6 bilion.
Projek sepanjang 335 kilometer itu, akan menghubungkan kawasan Mulu, Nanga Medamit (Limbang), Long Luping (Lawas) serta Ba’kelalan.null
Projek tersebut merangkumi pembinaan jalan raya, jambatan, jejambat, lampu jalan dan sistem perparitan.
SSLR Fasa 2 merupakan kesinambungan kepada SSLR Fasa 1 bermula dari Lawas ke Long Luping yang dimulakan pada tahun 2021 dan kini telah mencapai kemajuan pelaksanaan sebanyak 57.6 peratus.– BERNAMA