KUALA LUMPUR: Kecerdasan Buatan (AI) tidak akan menggantikan pekerja, sebaliknya ia akan mencipta peranan dan peluang baharu dengan mentakrifkan semula skop kerja sedia ada.
Demikian tegas Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, yang menyarankan rakyat Malaysia untuk menerima kemajuan teknologi sebagai satu peluang untuk melangkah lebih jauh.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan acara pembangunan insan ‘OCBC Grow Your Way with MOBI’ anjuran OCBC Malaysia, di mana bank itu mengumumkan pelaburan lebih RM10 juta setahun dalam program pembangunan kakitangannya, dengan tumpuan khusus terhadap AI, mengasah semula dan meningkatkan kemahiran.
Sim memuji usaha OCBC Malaysia sebagai peneraju inisiatif yang sejajar dengan agenda transformasi tenaga kerja kerajaan dalam mempersiapkan negara menghadapi masa depan digital berpacukan AI.
“Walaupun pekerjaan lazim tertentu mungkin menghadapi risiko, transformasi ini akan membuka pelbagai peluang besar untuk kerjaya baharu berkemahiran tinggi yang sesuai dengan permintaan masa depan,” katanya, sambil menekankan keperluan untuk rangka kerja jelas bagi menangani soal etika dan undang-undang AI.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Malaysia, Tan Chor Sen, berkata pelaburan besar itu bertujuan melengkapkan lebih 5,000 kakitangan bank tersebut dengan kemahiran yang diperlukan untuk merebut peluang dalam persekitaran global yang pesat berubah.
“AI kini sedang mencetus pembaharuan di dunia dengan begitu pesat, dan kami komited untuk memastikan kakitangan kami cukup mahir untuk memanfaatkan kelebihan teknologi ini. Setakat ini, seramai 3,890 kakitangan telah menyertai hampir 480 program AI yang kami tawarkan, dengan kira-kira 12,500 kursus telah dikendalikan,” jelas Chor Sen.
Sebagai satu lagi komitmen jangka panjang, Chor Sen turut mengumumkan satu inisiatif baharu untuk menyokong bakat tempatan negara dalam bidang AI.
“Kami sukacita untuk mengumumkan bahawa mulai tahun depan, OCBC Bank akan menawarkan dua biasiswa di bawah Program Biasiswa OCBC untuk pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan AI,” tambahnya.
Acara tahunan ‘OCBC Grow Your Way with MOBI’ pada kali ini menumpukan pada peranan AI Generatif dalam pembangunan kakitangan, merangkumi lima bidang utama termasuk kemahiran masa depan, ketahanan diri, dan kelebihan pembelajaran berterusan.
Menurut Ketua Sumber Manusia OCBC Malaysia, KC Loo, acara itu menjadi platform untuk kakitangan meneroka kemahiran baharu dan menentukan hala tuju kerjaya masing-masing tanpa rasa bimbang terhadap AI.
Ia juga menampilkan MOBI, sebuah aplikasi Teman Kemajuan Kerjaya AI yang membimbing kakitangan dalam pembangunan kemahiran mereka di dalam kumpulan OCBC.
Inisiatif proaktif OCBC Malaysia dalam pembangunan sumber manusia telah mendapat pengiktirafan, antaranya dinobatkan sebagai Majikan Terbaik (Emas) oleh Jobstreet dan menduduki tempat keenam dalam senarai Syarikat Terkemuka LinkedIn 2025 (Malaysia) untuk pertumbuhan kerjaya.-BH Online