Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan menyalurkan bantuan kepada 62 ketua isi rumah di Segamat yang terkesan akibat siri gempa bumi lemah yang melanda daerah itu baru-baru ini, pada kadar maksimum RM3,000 bagi setiap keluarga. 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata bantuan tersebut akan disalur dengan sokongan Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau berkata, berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, sebanyak 62 rumah, dua surau dan sembilan premis kerajaan dilapor mengalami kerosakan. 

“Sejurus gempa pertama pada 24 Ogos lalu, Pegawai Daerah Segamat menggerakkan semua agensi, penghulu dan ketua kampung untuk membuat penilaian segera dan turut menilai kerosakan dihadapi menerusi mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

“Kerajaan negeri sedar beban paling berat ditanggung oleh keluarga yang rumahnya terjejas,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, menjawab pertanyaan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung bencana itu.

Beliau berkata, penilaian teknikal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan mengesahkan semua bangunan kerajaan ini masih selamat digunakan.

Katanya fasiliti penting seperti Tenaga Nasional Berhad, Petronas, Ranhil SAJ dan Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj) turut diperiksa dan kesemua sistem dan kemudahan asas ini berada dalam keadaan baik dan berfungsi seperti biasa.

Beberapa siri gempa bumi lemah di Segamat dan Batu Pahat bermula pada 24 Ogos lalu dengan magnitud 4.1, disusuli tujuh gegaran susulan antara 27 Ogos hingga 3 September dengan magnitud antara 2.5 hingga 3.4.

Bagi jangka pendek, katanya, kerajaan negeri menumpukan usaha kepada pengaktifan bilik gerakan bencana 24 jam bersama agensi keselamatan dan teknikal, hebahan kesedaran kepada orang awam, pembangunan Prosedur Tetap Operasi (PTO) Gempa Bumi serta pelaksanaan Program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) yang akan diperluas ke sekolah dan komuniti menjelang akhir Oktober ini.

“Selain itu, enam stesen seismologi sedia ada di Johor akan dinaik taraf, manakala dua stesen tambahan akan dibina dengan peruntukan RM3 juta yang diluluskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Bagi jangka panjang, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan memperkukuh pemantauan melalui kajian berterusan mengenai garisan sesar serta pelaksanaan piawaian binaan tahan gempa untuk pembangunan baharu.

“Pemetaan risiko seismik juga akan dikemas kini secara berterusan melalui cerapan pergerakan sesar dengan integrasi teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya.– BERNAMA