KUALA LUMPUR: Tahap kesiagaan semasa aset belum memadai untuk menghadapi ancaman moden yang semakin kompleks walaupun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini memiliki kapasiti dan aset yang signifikan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, berkata kemunculan sistem persenjataan moden boleh menggugat pertahanan Malaysia sekiranya pemodenan angkatan tentera tidak selari dengan perkembangan semasa.
Katanya, konflik semasa di Ukraine dan Gaza menunjukkan penggunaan sistem persenjataan yang canggih seperti dron tempur, peluru berpandu jarak jauh, peperangan elektronik serta sistem tanpa pemandu di pelbagai domain
“Tambahan pula, kebangkitan teknologi memuncul, seperti kecerdasan buatan (AI) dan Sistem Fizikal Siber (CPS) sudah mula diguna pakai dalam operasi ketenteraan untuk membuat keputusan secara pantas dan tepat.
“Perkembangan ini membawa risiko kepada keselamatan jika tidak diawasi.
“Oleh itu, ATM perlu memastikan kemajuan teknologi tinggi ini diadaptasi secara optimum agar keupayaan operasi ATM terus terpelihara dan seimbang dengan negara serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di sini, hari ini.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Mohamad Khaled berkata, pihaknya sedang melaksanakan perolehan baharu untuk merapatkan jurang kesiagaan aset ATM.
“Perolehan baharu seperti pesawat tempur ringan FA-50, pesawat rondaan maritim ATR-72 MPA, sistem udara tanpa pemandu Jarak sederhana MALE UAS ANKA-S, kapal misi pesisir pantai (LMS) Batch 2 serta Kapal Tempur Pesisir (LCS).
“Semuanya akan diterima oleh ATM bermula antara 2026 hingga 2030 mengikut jadual penghantaran,” katanya.
Beliau berkata, tahap kebergantungan kepada sumber luar dari segi aset, penyelenggaraan peralatan dan logistik bukan sahaja meningkatkan kos, malah mendedahkan sektor pertahanan kepada risiko gangguan rantaian bekalan global akibat konflik antarabangsa.
“Pemerkasaan kesiagaan aset menuntut pembangunan industri pertahanan tempatan seperti pengeluaran komponen dan penyelenggaraan secara domestik,” katanya.-BH Online